Tuesday, March 8, 2011

TSG Jadi Taruhan Terkuat Bagi Dominasi Jelajah Malaysia

Edisi ke-47 perlumbaan berbasikal, Jelajah Malaysia yang akan membuka tirainya hari ini bakal menjadi medan kepada pelumba-pelumba Malaysia untuk mempamerkan keampuhan kayuhan mereka.

Berbeza dengan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), perlumbaan Jelajah Malaysia mempunyai kelasnya yang tersendiri.

"Jangan bandingkan perlumbaan Jelajah Malaysia dengan LTdL yang boleh dikatakan sebagai perlumbaan berprestij di rantau ini dengan status UCI yang tinggi (Status Hors).

"Sementara perlumbaan Jelajah Malaysia, kita kekalkan dengan status 2.2 untuk memberi peluang kepada lebih banyak pelumba tempatan untuk bersaing," kata ketua pegawai operasi Jelajah Malaysia 2011, Datuk Naim Mohamed.

Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di negara ini berjaya menarik penyertaan 30 buah pasukan, pertambahan 10 pasukan berbanding tahun sebelumnya.

Edisi ke-47 itu dengan tema "Jelajah 1Malaysia-Jelajah Rakyat" itu sekali gus menyaksikan jumlah penyertaan tertinggi sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1963.

Naim berkata perlumbaan ini menjadi medan untuk menyaksikan pelumba-pelumba tempatan menempa nama dalam acara berbasikal lebuh raya.

"Inilah masanya kita mahu melihat pelumba Malaysia bukan sahaja memenangi kategori pelumba terbaik Malaysia, malahan juga beberapa kategori yang lain," katanya.

Pada perlumbaan kali ini, terdapat sejumlah 12 pasukan tempatan -- pasukan kebangsaan Malaysia, dua pasukan benua dan 10 pasukan kelab.

Dua pasukan benua Malaysia -- Le Tua Cycling Team (L2A) dan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) -- semestinya menjadi taruhan terkuat dengan barisan pelumba-pelumba yang berkaliber. Bagi pasukan TSG sudah tentu menagihkan kudrat dua pelumba handalannya, Anuar Manan dan Harrif Salleh, yang menjadi taruhan untuk mengharumkan nama Malaysia.

Selain itu, penampilan Suhardi Hassan dan Wan Mohd Najmee Wan Mohamed (Kuala Lumpur), Sayuti Zahit (Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal KPT/UTEM) dan Mohd Zamri Salleh (Angkatan Tentera Malaysia) adalah antara barisan pelumba berpengalaman dan berpotensi mencipta kejutan.

Tidak kurang juga dengan kehebatan beberapa pelumba muda seperti Muhammad Adiq Husainie Othman dan Ahmad Fakhrullah Alias (Malaysia), Mohd Shahrul Mat Amin (TSG), Amir Mustafa Rosli (PDRM) dan Mohd Fakharuddin Daud (Johor).

Perlumbaan JM 2011 melibatkan jarak sejauh 1,011km itu akan memulakan saingan peringkat pertama esok dari Kota Iskandar ke Bandar Penawar sejauh 162.5km.

No comments:

Post a Comment