Wednesday, March 30, 2011

Amaran Hujan Lebat di Utara, TImur Negara

Datuk Ahmad Said melawat sebuah sekolah yang menempatkan mangsa banjir di Tok Jembal semalam.

Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di Terengganu yang dijangka berterusan sehingga hari ini serta boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai.

Menurut kenyataan jabatan berkenaan, hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat itu berlaku di daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta turut berlaku di Perlis dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang).

Nasihat hujan lebat peringkat kuning yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai turut dikeluarkan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Machang) dan Kedah (Yan, Sik dan Kuala Muda) turut dijangka berterusan hingga hari ini.

Dalam pada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga yang telah dikeluarkan menunjukkan angin kencang Timur/Timur Laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 5.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North dan Layang-layang dijangka berterusan hingga Sabtu ini.

Berikutan itu, kawasan pantai di Kelantan dan Terengganu terdedah dengan kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga esok selain turut membahayakan semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja pelantar minyak yang dijangka berterusan hingga hari ini.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang menghasilkan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak (Kuching, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan, Sabah (pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Tioman, Bunguran, Reef South dan Palawan sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, angin kencang Barat/Barat Daya berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Phuket dijangka berterusan hingga esok.

Tambah kenyataan itu, kawasan pantai di Pahang dan Johor Timur yang terdedah dengan kenaikan paras air dijangka berterusan sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

No comments:

Post a Comment