Wednesday, March 30, 2011

Polis Terengganu lancar Ops Payung Banteras Jenayah

Jamshah Mustapa (kanan) menyampaikan payung kepada seorang wakil ketua polis daerah selepas melancarkan Ops Payung peringkat kontinjen di Pasar Tani Bukit Payung, Kuala Terengganu, semalam.

Polis negeri semalam melancarkan Ops Payung sebagai satu inisiatif baru mendekati masyarakat dan melakukan pencegahan jenayah di kawasan tumpuan awam. Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, Ops Payung bertindak sebagai balai polis bergerak selain menggunakan elemen rondaan bit secara bergilir-gilir setiap empat jam di bawah sekaki payung yang dilengkapi dengan meja dan kerusi.

Katanya, menerusi konsep itu ia akan memudahkan orang ramai untuk mengakses perkhidmatan polis tanpa perlu ke balai selain menunjukkan kehadiran polis di lokasi-lokasi tumpuan.

"Kita akan menumpukan kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar, pusat beli-belah dan kawasan pelancongan di seluruh daerah di negeri ini.

"Setakat ini kita telah terima 35 set payung dan akan diedarkan di seluruh balai polis dengan perlaksanaannya bergantung kepada balai polis itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ops Payung peringkat kontinjen di Pasar Tani Bukit Payung di Marang, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Hamzah Md. Jamil. Pada majlis itu Jamshah turut mengedarkan risalah kesedaran jenayah kepada peniaga di pasar tani itu.

Beliau turut memaklumkan telah bersiap sedia menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan berisiko banjir ekoran hujan lebat yang melanda negeri itu beberapa hari lalu.

No comments:

Post a Comment