Wednesday, March 16, 2011

Anak-anak Bekas Tentera Sertai Bengkel Motivasi Kecemerlangan

Sebahagian daripada anak-anak veteran ATM yang menyertai bengkel motivasi pelajar cemerlang di Besut, Terengganu, baru-baru ini.



Bengkel Motivasi Kecemerlangan Pelajar anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama dua hari di Besut yang berakhir semalam ternyata memberi impak kepada calon-calon peperiksaan umum tahun ini.



Bagi sepasang kembar, Zuraina dan Zuraini Shaari 17, bengkel tersebut membantu mereka membuat persiapan untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.



Anak bekas tentera itu berkata, program selama tersebut berkesan dalam menerapkan semangat setia kawan serta membina jati diri.



Zuraina berkata, dia bertuah dilahirkan sebagai anak tentera kerana berpeluang menyertai pelbagai program untuk kecemerlangan pendidikan.



"Saya berpuas hati kerana dapat menyertai program ini yang disusun begitu baik," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun itu.



Hasil menyertai program itu, dia yakin mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM hujung tahun ini.



Zuraini pula memberitahu, ini pertama kali dia menyertai program itu dan mendapati sesuai dengan keperluan pembelajaran serta petua-petua mengulangkaji pelajaran yang diperoleh di sekolah.



"Pada program motivasi, kami mampu menerapkan semangat mahukan kejayaan dan gabungan semua itu dapat melengkapkan pembelajaran yang berkesan," ujarnya.
Mereka adalah di antara 160 orang pelajar tingkatan tiga dan lima dari Kelantan dan Terengganu yang menyertai bengkel itu.



Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Musa Ali semasa berucap di majlis penutup bengkel itu berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan dalam memberi pendedahan kepada anak-anak bekas tentera dalam bidang pelajaran.



Jelas beliau, pelaksanaannya adalah untuk menunjukkan bahawa jabatan tidak pernah melupakan jasa bekas tentera dalam menjaga keamanan negara.



"Keamanan ini perlu terus dijaga oleh anak-anak bekas tentera melalui kejayaan mereka dalam pelajaran," katanya.



Justeru ujar beliau, jabatan itu akan terus menyenaraikan program kecemerlangan dalam memastikan anak-anak bekas tentera terus mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan.

No comments:

Post a Comment