Beginilah keadaan rumah yang hangus dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Teras Keluang, Besut, Terengganu, semalam.
Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Pengkalan Teras Keluang Besut, musnah dalam kebakaran semalam.
Mangsa, Fauzi Ali, 38, seorang tukang rumah memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah.
Ketika itu dia yang bekerja sebagai tukang rumah berada di Kampung Mak Sara di Jerteh manakala isteri dan empat anaknya berada di rumah keluarganya di Kampung Tiong, tidak jauh dari rumah mereka.
Kejadian itu disedari oleh seorang jiran yang cuba menghubungi mangsa tetapi gagal lalu menghubungi anak saudara mangsa yang tinggal di Kuala Krai, Kelantan.
Fauzi berkata, anak saudaranya itu berjaya menghubunginya lalu memberitahu mengenai kejadian itu.
"Pada mulanya saya amat bimbangkan isteri dan anak-anak saya tetapi saya bersyukur mendapati mereka selamat,'' ujarnya.
Menurutnya, dia diberitahu bahawa api marak dengan cepat memusnahkan semua perkakas rumah termasuk dua mesin jahit isterinya dan sepuluh pasang pakaian pelanggan serta dokumen penting.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Zamri Awang Long berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal 15 minit kemudian.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian belum ditaksirkan.
No comments:
Post a Comment