Tuesday, March 8, 2011

Anuar Manan Ketuai Pasukan TSG Dalam Jelajah Malaysia

Basikal: Pencabar utama lumba basikal Jelajah 1Malaysia (dari kiri): Anuar Manan, David McCann & Jaan Kirsipuu.

Pelumba pecut negara Anuar Manan akan mengetuai pasukan lumba basikal Profesional Terengganu-Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dalam kejohanan Jelajah Malaysia yang akan diadakan mulai hari ini (8 Mac 2011) hingga 13 Mac ini.

Jurulatih TSG Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata dalam kejohanan itu TSG akan menghantar enam pelumba untuk bersaing dalam mengharungi laluan sejauh 1,111 kilometer.

Mereka ialah Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan dan Motoi Nara.

"Pelumba-pelumba ini pernah mewakili TSG pada kejohanan Tour De Mumbai, India bulan lalu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata dengan kebolehan yang ada pada Anuar Manan serta pelumba-pelumba lain, TSG mensasarkan untuk mempertahankan jersi spring yang dimenangi Anuar Manan pada kejohanan tahun lepas.

Namun katanya TSG sedar ia bukan satu misi yang mudah kerana perlumbaan itu akan turut disertai oleh pelumba-pelumba handalan dari luar negara.

Syed Mohd Hussaini berkata untuk menghadapi kejohanan itu, pelumba-pelumba TSG menjalani latihan rapi, termasuk menyertai Grand Prix Rantau Panjang dua minggu lepas.

No comments:

Post a Comment