Tuesday, March 8, 2011

Bas Terbabas, Terbalik: Lima Cedera Termasuk Pemandu

SEBUAH bas yang membawa 12 penumpang terbalik selepas bergesel dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 38 Jalan Pagoh Jaya, Felda Belara Kuala Terengganu hari ini ( 08 Mac 2011). - Utusan

Lima orang termasuk seorang rakyat Thailand cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik dalam parit besar sedalam dua meter di KM 38, Pagoh Jaya, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Felda Belara hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, ASP Che Khazahari Amat berkata, kejadian pada pukul 11.05 pagi itu membabitkan bas yang membawa 12 penumpang termasuk lima rakyat Thailand yang dalam perjalanan ke Setiu.

"Sampai di satu selekoh di kawasan kejadian, bas itu dipercayai hilang kawalan kerana keadaan jalan yang licin ekoran hujan renyai-renyai.

“Bas itu kemudian bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kancil dari arah bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit besar itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat Thailand yang cedera dikenali sebagai Arifah Wan Muda, 20, manakala empat rakyat tempatan yang cedera dalam kemalangan itu ialah Nor Wahidah Mat Ti, 21; Mohd Lim Abdullah, 60; Mohd Zulkifli Zohor, 20; dan pemandu bas Md Amin Mohd, 40.

Kesemua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh orang awam dan ambulans Jabatan Pertahanan Awam negeri.

No comments:

Post a Comment