Tuesday, March 8, 2011

Rakyat Kini Terima Kesungguhan, Kewibawaan Najib - Ahmad Said

Ahmad Said menyampaikan e-Book untuk DUN Batu Burok semalam yang menggambarkan kerajaan negeri berusaha meningkatkan pencapaian murid dalam pendidikandi sekolah dan celik IT.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kemenanganbesar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Kerdau dan Merlimau kelmarin menunjukkan bahawa rakyat telah menerima kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kemenangan dengan majoriti yang besar itu menggambarkan konsep 1Malaysia diterima rakyat.

"Kesungguhan dan kewibawaan Datuk Seri Najib memimpin negara ini juga diterima rakyat dan segala tohmahan parti pembangkang juga tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN terutama melibatkan kawasan luar bandar," katanya.

Beliau menyatakan demikian diminta mengulas kemenangan besar BN pada sidang media selepas Majlis Penyerahan e-Book Sekolah-sekolah Rendah Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk, di Dewan Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Kemenangan itu juga menunjukkan jentera BN yang terdiri daripada pelbagai komponen parti telah dapat mengembleng tenaga bagi memastikan jumlah keluar mengundi yang tinggi.

Beliau berpendapat kemenangan berganda BN di DUN Merlimau dan Kerdau semalam, walaupun dilihat sebagai petanda baik tetapi ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menjamin kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang tanpa usaha keras.

Selain itu semua pemimpin dan anggota parti tidak boleh leka dengan kemenangan itu sebaliknya perlu menggandakan usaha untuk mendampingi rakyat sebaik mungkin.

Ahmad Said berkata BN Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13.
"Kita menjalankan pelbagai program untuk rakyat seperti penyampaian e-Book serta bantuan lain untuk pelajar, belia, orang tua, perumahan dan banyak lagi yang memberikan kelebihan kepada BN.

Pembangkang pula apabila gagal menunjukkan kemampuan mereka, taktik baru ialah menabur fitnah dan memburuk-burukkan kerajaan," katanya.

Pada PRK Merlimau di Melaka pada Ahad, BN mengekalkan kerusi itu menerusi Roslan Ahmad yang mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan meraih 5,962 undi manakala Yuhaizad 2,319 undi.

Di Kerdau pula, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad mengalahkan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Krau, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin mendapat 2,336 undi.

Menyifatkan peningkatan jumlah keluar mengundi di kedua-dua pilihan raya kecil itu merupakan satu sejarah yang amat jarang berlaku, beliau melihat perkara itu sebagai kebangkitan rakyat yang "menolak pembangkang".

No comments:

Post a Comment