Tuesday, March 15, 2011

HSBZ Bakal Jadi Pusat Pengesanan Dadah Perangsang

Hasil cadangan mesyuarat Jawatankuasa Anti Dadah Terengganu akhir tahun lalu, kerajaan negeri bersetuju membantu mewujudkan Makmal Dadah dan Penyelidikan di Jabatan Patologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, projek itu dianggarkan menelan kos RM1.5 juta.

Katanya, ia kelak bakal menjadikan HSNZ sebagai pusat pengesanan Amphetamine Type Simulant (ATS) pertama di Pantai Timur dan kedua di negara ini selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, kos berkenaan juga meliputi penyediaan Perkhidmatan Ujian Pengesanan ATS iaitu untuk pengubahsuaian makmal serta pembelian peralatan dan mesin yang berjumlah kira-kira RM500,000.

“Usaha ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memerangi jenayah penyalahgunaan dadah di negeri ini yang semakin membimbangkan terutamanya melibatkan generasi muda.
“Kewujudan perkhidmatan pengesanan ATS ini juga dapat membantu agensi terlibat, terutama pihak polis mempercepatkan kes penyalahgunaan dadah terutamanya jenis ATS,” katanya kepada Utusan Malaysia, di Kuala Terengganu, kelmarin.

ATS adalah gelaran yang diberi kepada sekumpulan dadah jenis perangsang atau stimulants seperti Methamphetamine, Methcathinone dan Ecstasy manakala dadah yang paling popular ialah ecstasy dan syabu di mana ia merupakan ATS yang paling banyak disalahgunakan.

Menurut Dr A. Rahman, usaha kerajaan mewujudkan pusat berkenaan tidak bermakna negeri ini begitu kritikal dalam masalah dadah berbanding negeri lain.

Dengan adanya perkhidmatan ini katanya, ia dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes penyalahgunaan dadah dan pada masa yang sama dapat mengurangkan masalah berkenaan.

“Ketika ini, setiap tangkapan kes yang memerlukan ujian pengesahan terpaksa dirujuk ke HKL dan ini mengakibatkan tertuduh direman lebih lama di lokap sementara menanti keputusan ujian.

“Hal ini mengakibatkan banyak kes tertangguh serta tempoh pengendalian yang sepatutnya lebih cepat memakan masa yang agak lama,” katanya.

No comments:

Post a Comment