Friday, March 4, 2011

Imam, Bilal Penting Memupuk Perpaduan Rakyat, Membina Umat Berdaya Maju Di Terengganu

Analisis HAMBALI ABDUL LATIFF

Ada beberapa perkara menarik pada Bicara Eksekutif : Multaqa Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam petang Isnin (28 februari 2011) lalu.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said seakan sengaja menimbulkan persoalan - kenapa orang bukan Islam tidak berbalah mengenai agama mereka - malah mereka bersatu jika ada bencana menimpa atau rasa terancam.

Sedangkan kita umat Islam khususnya di Terengganu ini sering bertelingkah dan berpolimik mengenai Islam tidak habis-habis?

Jawapan kepada persoalan dikatakan ada di hadapan kita tetapi sukar untuk mengatasinya kerana banyak dilihat dalam aspek politik bukan kemasyarakatan atau keagamaan.

Kerana itu Menteri Besar meminta bijak pandai Islam melihat fakta kenapa orang bukan Islam tidak berbalah mengenai agama mereka, malah nampak bersatu dan cuba mengatasi masalah kaum atau juga kumpulan mereka secara bersama-sama.

Persoalan asas yang cuba ditimbulkan oleh Menteri Besar pada multaqa berkenaan ialah mengapa orang Islam tidak boleh bersatu seperti mereka?

Selain itu Datuk Seri Ahmad Said turut mengemukakan pertanyaan, mengapakah kerana hanya tidak bersependapat mengenai perkara-perkara cabang dalam Islam kita mula memusuhi saudara Islam kita sendiri?

Masalah ini adalah masalah global tetapi di Terengganu ia sudah kekal dalam masyarakat kita sejak berdekad lamanya.

Bagi kerajaan negeri persoalan ini tidak boleh diatasi oleh pentadbir atau penjawat awam serta orang politik.

Kerana sukarnya mengatasi masalah pertelingkahan seperti ini, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri berharap Imam dan Bilal mampu memainkan peranan mengurangkan polemik dan perbalahan antara umat Islam di negeri ini.

Bagi kerajaan negeri, di sinilah letaknya amanah dan kepercayaaan kerajaan kepada warga Imam dan Bilal keranajika kita mahu kebaikan maka kita akan mendapat kebaikan. Dan jika kita menghendaki kemusnahan, kita akan menerima akibat dan kesannya.

Amat jelas dalam masyarakat kita di Terengganu ini, warga Imam dan Bilal adalah institusi barisan hadapan yang dapat mencorakkan pemikiran rakyat. Mereka juga ejen penting dalam menyampaikan hasrat kerajaan untuk memajukan negeri ini serta membina umat yang berdaya maju.

Oleh kerana jawatan Imam dan Bilal adalah jawatan yang sangat penting dalam masyarakat Islam, mereka sewajarnya mewarisi peranan yang dimainkan oleh Rasulullah S.A.W. bukan sahaja dalam membimbing solat malah penting dalam membentuk masyarakat yang berdaya maju.

Bagi kerajaan negeri, merelah simbol penyatuan umat. Ini kerana melalui ibadah solat berjemaah, setiap umat Islam perlu mengetepikan segala bentuk perbezaan yang ada dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu Imam.

Sementara jika berlaku pula solat dua Imam, amat jelas menunjukkan masyarakat di kawasan itu telah dipisahkan oleh politik. “Mengapa kita mesti mempamerkan keegoan kita kepada masyarakat yang mengharapkan bimbingan dari kita supaya menjadi umat yang lebih baik?” tanya Menteri Besar.

Yang pasti, sebagai pemimpin masyarakat setempat, personaliti setiap Imam haruslah sentiasa dijaga agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Dengan kata lain, Imam-imam hendaklah sentiasa kelihatan hebat pada setiap waktu dan ketika.

Imam-Imam juga diharapkan dapat menyediakan diri dengan ilmu yang mencukupi yang membolehkan mereka bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu Fardhu Ain sahaja malah mesti menguasai kemahiran lain seperti ilmu Psikologi, Kaunseling dan sebagainya. Mereka boleh mengambil peluang menjadi Guru Ta’mir yang mengajar di masjid-masjid dan memberikan khidmat nasihat agama di masjid, selain membuka kelas pengajian berkaitan agama dan kebudayaan Melayu seperti marhaban, berzanji, qasidah dan sebagainya.

Sesungguhnya jika usaha ini tidak dimulakan dari sekarang, tidak mustahil jika suatu hari nanti ilmu-ilmu ini akan luput ditelan zaman.

Yang penting, menurut Ahmad Said, Imam dan Bilal hari ini perlu juga mahir dalam ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti ilmu pentadbiran, teknologi, teknologi maklumat dan sebagainya. Ini kerana merekalah penggerak dan pemangkin bagi segala kegiatan masyarakat setempat.

Sesungguhnya, baik atau buruk sesuatu masyarakat di negeri ini banyak bergantung kepada sejauh mana Imam dan Bilal memenuhi tanggungjawab dan melaksanakan peranan mereka dengan sewajarnya.

Amat jelas kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf peranan Imam dan Bilal tetapi juga menghargai peranan mereka untuk menggerakkan masyarakat Terengganu kea rah perpaduan dan berdaya maju!

2 comments: