Sunday, March 6, 2011

Terengganu Buru Kejuaraan Piala Emas Khir Johari

Terengganu yang tiga kali sekadar menjadi naib johan Kejohanan Sepaktakraw Piala Emas Khir Johari, mahu mencipta sejarah dengan muncul sebagai johan pada kejohanan di Kuching mulai 23 hingga 27 Mac ini.

Pengerusi Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata kali Terengganu mempunyai peluang terbaik untuk memenanginya.

"Kita akan mencipta sejarah kalau menang kerana kita tidak pernah menang sebelum ini, hanya pernah menjadi naib johan sebanyak tiga kali," katanya.

Beliau berkata untuk melakar kejayaan, Terengganu akan menurunkan lapan pemain yang bakal mewakili negara dalam kejohanan dunia dan Sukan Sea akan datang.

Pemain itu ialah Mohd Shazwan Hussin, Mohd Hami Khairi Roslan, Mohd Fazli Roslan, Mohd Nasiruddin Manjor Ahmad, Zulhafizazudin Roslan, Mohd Zulkifli Abdul Razak Mohd Azrol Nizam Zakaria dan Mohd Hanafiah Dollah.

Para pemain berkenaan sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi kedua-dua kejohanan tersebut.

Menurut Mohd Shapian, skuad kebangsaan akan melepaskan para pemain itu untuk balik barlatih di negeri ini pada 16 Mac untuk menghadapi kejohanan di Kuching.

Beliau berkata selain lapan pemain itu, Terengganu juga akan menyenaraikan empat pemain skuad Sukma iaitu Mohd Subbha Mohd Latip, Muzhaffar Zamir Daiman, Mohd Safaruddin Abu Bakar dan pemain senior Rosmadi Abdul Ghani serta bekas pemain pelapis kebangsaan Ahmad Fariq Zainuddin.

Terengganu kali ini dilatih Rosmadi Mohamad dengan dibantu oleh bekas jurulatih sepak takraw kebangsaan Thailand, Vitaya Boonta.

No comments:

Post a Comment