Satu kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2011 akan dijalankan pertengahan April ini bagi mengukur tahap integriti masyarakat dan maklumbalas mereka terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Presiden Institut Integriti Nasional (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata kajian itu melibatkan 20 ribu responden yang dipilih secara rawak daripada tiga kumpulan sasar iaitu anggota keluarga, penjawat awam dan sektor swasta.
Beliau berkata kajian kali ini berbeza kerana turut mengambil kira impak GTP melalui enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilancar pada 2009.
"Petugas Jabatan Perangkaan Negara akan pergi ke kawasan perumahan dan organisasi terpilih bagi menjalankan kajian secara temubual. Kami berharap responden terpilih dapat meluangkan masa dan memberi kerjasama yang baik untuk membantu kami menilai tahap integriti rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di IIM, semalam.
Beliau berkata kajian itu dijangka berlangsung selama tiga bulan dan laporannya dibentangkan kepada kerajaan serta masyarakat selepas itu. Sementara itu, Mohd Tap berkata IIM akan mengadakan beberapa program khas sempena ulang tahun ketujuh Pelan Integriti Nasional yang akan disambut pada 23 April.
Antara program utama yang akan diadakan ialah Syarahan Perdana Integriti oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena forum 'Agenda Integriti Nasional' pada 5 Mei di IIM.
Selain itu, 'Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti' akan diadakan pada 16 April di Kampung Pendamar, Klang yang dijangka melibatkan 1,000 penduduk setempat untuk berinteraksi secara langsung dengan anggota panel seperti Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.
Pada 10 hingga 12 April pula akan diadakan Pertandingan Pidato Integriti antara kesemua 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia bagi mempromosi serta membudayakan etika dan integriti di kalangan bakal guru.
Tema pertandingan adalah 'Pendidik Berintegriti Teras Pencapaian 1Malaysia' dan majlis penutup serta penyampaian hadiah akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada 28 April pula akan diadakan Seminar Kepimpinan Wanita dan Integriti dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO).
No comments:
Post a Comment