Monday, March 7, 2011

Kerajaan Negeri Sepatutnya Menerima Ucapan Terima Kasih, Bukan Cercaan

Cakap-cakap dan kritikan pihak tertentu khususnya kalangan pemimpin pembangkang dalam isu penghantaran semula pelajar ke Mesir sengaja dilakukan sebagai usaha memperkecilkan 'Ops Piramid' kerajaan Pusat dan 'Misi Membawa Pulang Pelajar Terengganu' yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah gembira pengumumkan kesediaan kerajaan negeri membiayai kos penghantaran pulang pelajar ke Mesir, Rabu lalu.

Analisis HAMBALI ABDUL LATIFF

Terima kasih Kerajaan Terengganu kerana sanggup biayai kos penghantaran pulang pelajar ke Mesir

Keputusan kerajaan negeri Terengganu itu sangat dinanti-nantikan dan pastinya melegakan pelajar dan ibu bapa mereka.

Keputusan ini juga akan menutup mulut mereka yang mengkritik kerajaan negeri kononnya lambat menghantar pelajar berkenaan pulang ke Mesir setelah keadaan pergolakan di negara berkenaan dilihat sudah mulai berkurangan.

Seramai 621 pelajar Terengganu diterbangkan dari Mesir ekoran konflik di negara itu dan mereka ini yang mendaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 308 orang yang menuntut di negara berkenaan secara persendirian.

Hanya 13 pelajar persendirian yang mengambil keputusan tidak pulang dari Mesir melalui operasi baru-baru ini.

Ketika ini Yayasan Terengganu, iaitu penaja terbesar untuk pelajar negeri ini di Mesir, menaja 247 pelajar di lapan buah universiti di Mesir dalam bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian.

Ia membabitkan 95 orang yang mengikuti bidang pengajian Islam dan perubatan di Universiti Al-Azhar, 44 pelajar di Universiti Mansoura , 35 pelajar Universiti Mansoura-Manchester dan 34 pelajar di Universiti Ain Sham. Yang lain seramai 21 pelajar di Universiti Tanta, 14 di Universiti Alexandra dan empaqt orang belajar di Universiti Zagazig.

Selain itu, Terengganu turut mempunyai seramai 509 pelajar di Mesir di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Amanah Rakyat dan juga pelajar persendirian.

Keputusan yang dibuat melalui mesyuarat Exco Rabu lalu, iaitu sama harinya dengan keputusan yang turut dibuat oleh kerajaan negeri Perak yang menggambarkan betapa kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) begitu prihatin dengan masalah rakyat.

Cakap-cakap dan kritikan pihak tertentu khususnya kalangan pemimpin pembangkang dalam isu penghantaran semula ini sengaja dilakukan sebagai usaha memperkecilkan Ops Piramid kerajaan Pusat dan Misi Membawa Pulang Pelajar Terengganu yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Sedangkan pemimpin pembakang yang anak mereka turut terlibat dengan operasi ini menyatakan terima kasih mereka kepada kerajaan Terengganu kerana menyelamatkan pelajar Terengganu daripada pergolakan dan suasana tidak stabil di Mesir awal bukan Februari lalu.

Pengumuman oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Imam Rabu (2 Mac 2011) pada hakikatnya adalah suatu khabar yang menggembira dan sewajarnya dilafazkan kesyukuran oleh pelajar tajaan kerajaan negeri dan juga pelajaran persendirian di samping keluarga mereka.

Bagi operasi penghantaran pulang ke Mesir ini, kerajaan negeri sedang berurusan dengan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menyediakan pesawat sewa khas 747 bagi menampung keperluan.

Kesediaan kerajaan negeri menanggung kos penerbangan balik semua pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan pelajar persendirian pastinya akan memberi kesan kepada perbelanjaannya tetapi sebagai kerajaan yang mendahului kepentingan rakyat, khususnya pelajar-pelajarnya, keputusan berani perlu dibuat.

Selain kerajaan Terengganu, kos penerbangan bagi 46 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan 52 pelajar yang ditaja oleh Mara akan ditanggung oleh penaja masing-masing.

Dalam menggerak dan menyegerakan misi ini Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, sudah mengadakan rundingan susulan dengan pihak pengurusan MAS semalam. Ia bagi menentukan kos sewa pesawat dan tarikh mereka akan diterbangkan ke Mesir.

Urusan menghantar pulang pelajar ini bukan boleh dilakukan begitu sahaja kerana selain menguruskan sewaan pesawat, kerajaan negeri perlu mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara mengenai keadaan keselamatan di negara berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri juga mengambil kira tarikh kebanyakan universiti di Mesir mula dibuka.

Yayasan Terengganu sendiri sebagai penaja terbesar pelajar Terengganu di Mesir beberapa hari lalu mengesahkan bahawa pihaknya perlu menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara sebelum menghantar pulang pelajar tajaannya ke Mesir.

Ketua Penolong Bahagian Tajaan Pelajar YT, Mohd Razali Mahmud berkata beliau difahamkan beberapa buah universiti di Mesir bakal memulakan pengajian antara 12 Mac dan 8 April ini dan jika Majlis Keselamatan Negara membuat pengumuman segera, Yayasan Terengganu tidak ada masalah untuk menghantar pelajar negeri ini ke Mesir pada kadar yang segera.

Bukan Yayasan Terengganu sahaja yang mengambil berat mengenai pelajar tajaannya tetapi semalam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memberitahu, pihaknya akan membantu pelajar tajaannya mendapatkan visa bagi membolehkan mereka kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha MAIDAM Wan Harujan Sulaiman berkata sehubungan itu, semua pelajar terbabit diminta datang pejabat Maidam pada pukul 8 pagi, Selasa ini (esok) bagi urusan tersebut.

"MAIDAM akan menyediakan kemudahan termasuk jurugambar untuk mengambil gambar bagi membuat visa.Pelajar juga harus membawa semua dokumen berkaitan termasuk yang mengesahkan mereka telah diberi kebenaran kembali ke Mesir, “ katanya.

MAIDAM akan membuat pembayaran tunai sebanyak RM100 kepada pelajar yang belum lagi menerima bantuan semasa tiba di tanah air tempoh hari. MAIDAM juga bersetuju membiayai sebahagian kos tambang pelajar tajaannya seramai 300 orang yang kembali ke tanah air menerusi Ops Piramid baru-baru ini.

Jumlah keseluruhan peruntukan untuk menghantar pulang pelajar tajaan MAIDAM ke Mesir ialah sebanyak RM450,000. Pelajar-pelajar berkenaan akan diterbangkan dengan pesawat yang disewa khas kerajaan negeri terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Kaherah, Mesir.

Amat jelas bahawa langkah menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negeri ini bukan untuk melengah-lengahkan penghantaran pelajar berkenaan.

Tetapi yang paling penting untuk memastikan tahap keselamatan di Mesir terjamin kepada pelajar dari negeri ini.

Masalahnya pemimpin pembangkang banyak cakap tetapi tidak mampu melakukan apa-apa!

No comments:

Post a Comment