Monday, March 7, 2011

Polis Berjaya Tahan Lelaki Culik Kanak-Kanak Lima Tahun Lalu

Tahniah kepada Polis Terengganu!

Ini kerana seorang lelaki yang dipercayai menculik seorang kanak-kanak perempuan lima tahun lalu di Terengganu berjaya ditahan di Sabah, Selasa lalu.

Juruletrik berumur 30 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak ditahan di rumah sewanya di Inanam, Kota Kinabalu kira-kira 7.45 pagi ketika dia mahu keluar bekerja.

"Tangkapan itu hasil kerjasama polis Kota Kinabalu dan kita telah hantar anggota ke sana untuk mengenal pasti suspek," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K. Manoharan.

Kes penculikan itu berlaku pada 22 Oktober 2006.

Kanak-kanak yang berusia tiga tahun ketika itu adalah anak bongsu kepada sepasang suami isteri ahli perniagaan yang diculik ketika suspek melakukan kerja pemasangan wayar di rumah pasangan tersebut.

Kanak-kanak itu dilarikan ketika dia hanya tinggal di rumah itu bersama orang gaji.

Manoharan berkata lelaki terbabit kemudiannya menghubungi pasangan berkenaan dan meminta wang tebusan sebanyak RM50,000 untuk membebaskan anak mereka.

"Pada 2 petang hari tersebut, kanak-kanak itu telah dibebaskan setelah keluarganya menyerahkan wang tunai RM20,000 di tepi jalan berhadapan dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) di Kuala Terengganu.

"Selepas kanak-kanak itu dibebaskan, ibu bapanya menyerahkan lagi sekeping cek bernilai RM22,800 kepada suspek yang turut memberi amaran kepada mereka supaya kes itu tidak dilaporkan kepada polis," katanya.

Namun ahli perniagaan itu membuat laporan polis lapan hari kemudian.

"Walaupun penjenayah tersebut licik menghilangkan diri lebih lima tahun, namun kita tidak pernah menutup kertas siasatan kes tersebut," kata Manoharan.

Lelaki terbabit kini direman sehingga 9 Mac sebelum didakwa di bawah Seksyen 53 Akta Culik 1961.

No comments:

Post a Comment