Pengunjung memerhatikan kehalusan tekstil batik yang dipamerkan pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ketiga di Kuala Terengganu semalam.
Benang selembar tidak akan wujudnya kain - perlu dipintal, dijalin dan dihias yang akhirnya mencorak warna tradisi dan menjadi pengenalan suatu masyarakat, bangsa atau negara.
Kewujudan tekstil tradisi di rantau ini yang menjadi kebanggaan setiap negara mempunyai banyak ciri persamaan terutama melalui songket dan batik, di samping kelainan dengan keunikan tersendiri.
Seperti tekstil, hubungan di kalangan pengusahanya dan masyarakat ASEAN umumnya perlu terus dijalin bagi memperkukuhkan lagi perkongsian budaya dalam menghadapi cabaran masa depan.
Usaha ke arah ini dipancarkan melalui Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ketiga yang bermula hari ini, lanjutan daripada program perintis di Jakarta pada 2005 dan Manila 2009.
Terengganu diberikan penghormatan menjadi tuan rumah dan simposium kali ini yang bertemakan Meraikan Perkongsian Warisan Serumpun dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri dengan kerjasama ASEAN Foundation.
Ia juga menjadi satu testimoni tentang kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan legasi warisannya dan meluaskan potensi dengan mengetengahkan di persada dunia, disesuaikan cita rasa generasi sezaman.
Presiden ASEAN Traditional Textiles Art Community (ASEANTTAC), Prof. Sulaiman Abdul Ghani berkata, simposium itu bukan sekadar untuk mewujudkan kesedaran betapa pentingnya seni warisan.
"Tetapi juga mewujudkan jambatan penyambung di antara generasi serta jambatan budaya di kalangan negara ASEAN," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE) berkata, simposium selama dua hari yang berlangsung di Taman Tamadun Islam di sini antara lain bagi menilai dan mengesahkan langkah-langkah yang diputuskan di Manila.
Katanya, ini termasuklah untuk membentuk paradigma bagi pengekalan dan pemuliharaan tekstil tradisi agar ia terus subur dengan penggunaan dan pemakaian yang meluas, sekali gus dapat mengekalkan industri berkaitan.
"Juga untuk mengetengah dan menggalakkan penggunaan teknik dan bahan asal oleh pandai kraf dan tenunan dalam pengeluaran, di samping penekanan soal tanggungjawab etika di kalangan pengusaha dan peniaga dalam dari segi mutu pengeluaran dan pemasaran.
"Lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara terdiri daripada pengusaha, pemilik syarikat, pereka tekstil dan fesyen, penyelidik, pencinta seni tekstil hadir," katanya.
Selain peserta dari rantau ini, wakil negara sokongan ASEAN seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea dan Australia di samping Perancis dan Hong Kong turut hadir.
Antara aktiviti sempena simposium adalah pembentangan kertas kerja berkaitan sejarah, perkembangan dan penemuan-penemuan baru di dalam tekstil tradisi oleh wakil negara ASEAN dan dari luar rantau ini.
Juga diadakan pameran, demonstrasi, lawatan ke beberapa pusat penyelidikan dan penghasilan tekstil tradisi serta penampilan fesyen batik dan tenun daripada pereka tempatan juga dari negara ASEAN.
Menurut Prof. Sulaiman, perkongsian teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan akan dapat dilakukan lebih meluas, di samping mencari pendekatan baru agar bahan yang menjadi identiti ASEAN akan terus ditunjangi oleh generasi muda rantau ini.
Katanya, simposium itu juga menerokai jalan dalam menyemarakkan penghargaan dan kecintaan terhadap tekstil tradisi, di samping kesedaran betapa pentingnya ia dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara.
"Melalui tekstil tradisi, mereka usahakan dengan sepenuh jiwa. Hubungan sesama insan terjalin, kepakaran meningkat, sayang dan hormat semakin menebal dan rasa tanggungjawab semakin mendalam.
"Kita belajar menghargai pengorbanan ini. Ini satu pusaka, satu amanah, satu tanggungjawab yang perlu diteruskan bersama.
"Semoga rupa, jiwa dan gaya tekstil setiap negara ASEAN khususnya, terus mekar segar menghiasi persada dunia. Tekstil tradisi merupakan simbol pada pertemuan dan perkongsian seni yang tiada sempadan," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment