Wednesday, March 30, 2011
Lebih RM11 Juta Belanja Untuk 16 Pilihan Raya Kecil
Kerajaan menanggung kos lebih RM11 juta bagi melaksanakan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata perbelanjaan yang besar diperlukan bagi menampung kos dan perkhidmatan bagi setiap pilihan raya kecil seperti pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan minuman.
"Anggaran kos yang digunakan bagi menjalankan pilihan raya kecil ialah antara RM318,000 dan RM1,290,000 bergantung kepada kawasan pilihan raya yang terlibat dalam pilihan raya itu," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai kos yang dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-12 dan adakah kerajaan bercadang untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil dengan menggantikannya dengan kaedah lain.
Mohamed Nazri berkata perincian setiap pilihan raya kecil ialah Permatang Pauh (RM409,000), Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367.93), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.290 juta), Galas (RM1.047), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.
"Setiap keputusan bagi pilihan raya kecil yang diadakan adalah muktamad dan perbelanjaan yang digunakan dianggap sah," katanya.
Mengenai kemenangan Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil yang dianggap "tidak halal" selain melaksanakan projek "mi segera" dan memberikan "durian runtuh" kepada rakyat semasa pilihan raya kecil, Mohamed Nazri berkata, projek itu bukan bersifat "disegerakan" sebaliknya ia dipercepatkan semasa pilihan raya kecil kerana telah terdapat peruntukan yang ditetapkan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan projek yang membolehkan rakyat di negeri yang terbabit menerima manfaat dengan segera.
No comments:
Post a Comment