Tuesday, March 29, 2011

Lembaga Muzium Terengganu Bangunkan Kawasan Penemuan Batu Bersurat

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan membangunkan kawasan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang untuk dijadikan salah satu aset pelancongan sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, lokasi penemuan Batu Bersurat yang kini dikenali Batu Bersurat Piagam Terengganu, jika dibangunkan, pasti berdaya maju sebagai salah satu aset pelancongan sejarah negara dan Terengganu khasnya.

"Ini disokong pula dengan pengiktirafan Batu Bersurat Piagam Terengganu sebagai salah satu daftar Memori Dunia yang telah diberikan oleh Unesco baru-baru ini.

"Cadangan pembinaan Pusat Pengembangan Jawi, Islam dan Sejarah di kawasan tapak penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu di Kampung Buluh, Hulu Terengganu perlu disegerakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu di Muzium Negeri di Kuala Terenganu selama dua hari mulai semalam. Turut hadir pada majlis itu Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah.

Tanpa menyebut peruntukan, Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri akan memastikan bahawa pusat itu bakal disiapkan secepat mungkin agar memberi manfaat kepada negeri dan rakyat keseluruhannya.

Katanya, dengan adanya pusat itu, sudah pasti ia mampu menjadi tempat lawatan serta pusat kajian cerdik pandai serta sejarawan dari seluruh dunia.

"Pada hemat saya, tidak mustahil dan tidak keterlaluan sekiranya suatu hari nanti, tapak keramat itu akan menjadi terkenal seperti terkenalnya negara Mesir kerana piramid serta India kerana binaan Taj Mahalnya.

"Saya yakin dan percaya bahawa kita semua berasa bangga kerana mempunyai Batu Bersurat Piagam Terengganu yang membuktikan bahawa penempatan manusia tamadun awal bermula di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Berang yang pernah dikenali sebagai Foloan oleh para pedagang negara China," katanya.

No comments:

Post a Comment