Monday, March 14, 2011

Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Platform Terbaik Lahir Pemain Berkualiti

Liga Bolasepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merupakan platform terbaik untuk mengasah bakat golongan muda dalam arena sukan berkenaan sekaligus melahirkan lebih ramai pemain profesional tempatan yang berkualiti.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata setiap pemain berusia 14 tahun ke bawah yang terbabit dalam liga itu merupakan pemain yang aktif kerana menjalani latihan setiap minggu.

"Liga kali ini mempunyai 16 pasukan dan kita ada lebih kurang 400 pelapis yang aktif dalam liga...program ini dapat menghasilkan lebih ramai pemain yang berkualiti," katanya pada majlis pelancaran Liga Bolasepak KPM 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dekat Jitra semalam.

Abdul Ghafar juga melahirkan penghargaan terhadap sokongan penaja dalam membantu kementerian menjayakan program berkenaan.

Antara sekolah yang menyertai liga tersebut ialah SMK Syed Hassan Kangar, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman Jitra, SMK Seksyen 11 Shah Alam, SMK Seberang Temerloh, SMK Bukit Nenas Setiu, SMK Putera Kota Baharu dan SMK Datuk Peter Mojuntin, Keningau Sabah.

Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, liga berkenaan telah dijuarai oleh SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman Jitra (2010), Sekolah Sukan Bandar Penawar (2009) dan SMK Seksyen 11 Shah Alam (2008).

Sementara itu, selepas pelancaran liga itu semalam, satu pertandingan diadakan untuk merebut kejuaraan Piala Sumbangsih Menteri Pelajaran bawah 14 tahun yang menyaksikan SMK Bukit Nenas yang mewakili Terengganu menewaskan pasukan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang mewakili Kedah, 2-1.

Gol SMK Bukit Nenas dijaringkan oleh Mohamad Zalanie Zakaria (minit ke-20) dan Mustaqim Hakimi Che Halim (minit ke-23), manakala gol tunggal pasukan lawan dijaringkan oleh Mohd Yusri Mohd Farizat pada minit ke-45.

No comments:

Post a Comment