Tuesday, March 8, 2011

Majlis Fatwa Terengganu Teliti Bahan Pameran Mistik

Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan memanggil penganjur pameran mistik yang dirancang untuk diadakan di sini April ini bagi membincangkan mengenai bahan pameran yang akan diperlihatkan kepada orang ramai.

Ahli Jawatankuasa MFNT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata beliau telah memaklumkan kepada Mufti negeri Terengganu untuk mengadakan perbincangan dengan penganjur berhubung pameran itu.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan penganjur pameran iaitu Dynasty Event Sdn Bhd Isnin ini bagi meneliti pengisian program yang akan diadakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Tadarus Al-Quran Terengganu FM oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat di Taman Tamadun Islam di sini Isnin.

Shaikh Harun berkata, berdasarkan maklumat awal yang telah diberikan oleh pihak penganjur, MFNT mendapati sebahagian besar pengisian pameran itu tidak bercanggah dengan agama Islam.

Pameran mistik yang dijadual akan diadakan di Dataran Syahbandar selama sebulan itu akan mempamerkan lebih 130 artifak seperti jenglot, jin dan anak kerak selain pengunjung turut disajikan dengan penerangan, forum dan perbincangan dengan pakar-pakar agama.

“Bagaimanapun jika ada perkara atau benda yang dipamerkan itu bercanggah dengan agama Islam dan mendatangkan keburukan kepada masyarakat kita tidak akan benarkan ia dipamerkan,” kata Shaikh Harun.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata setakat ini JHEAT belum memberi kata putus untuk memberi kerjasama kepada Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran itu.

“Dia (penganjur) baru berhasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kita. Sama ada kita setuju atau tidak, kita belum putuskan,” katanya.

Mengenai Tadarus Al-Quran anjuran Terenggnau FM itu, ia melibatkan 30 pelajar Sekolah Imtiaz yang akan memperdengarkan bacaan Al-Quran di Masjid Kristal selama lima hari mulai 13 Mac ini dan ia turut dirakam untuk disiarkan pada bulan Ramadan nanti melalui Terengganu FM.

No comments:

Post a Comment