Tuesday, March 8, 2011

Tuntut Segera MyKad Sebelum Dilupuskan - JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Terengganu mengingatkan 2,000 pemohon di negeri ini agar menuntut MyKad mereka sebelum ia dilupuskan selepas tempoh 18 bulan permohonan dibuat.

Pengarahnya, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, pemilik MyKad yang gagal berbuat demikian juga bakal dikenakan denda RM40 sebagai penalti bagi kad pengenalan yang tidak dituntut mengikut Akta Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007.

Katanya, jumlah MyKad yang tidak dituntut tersebut merangkumi pemohon yang menukar alamat tempat tinggal, kad pengenalan baru serta yang hilang atau dokumen berkenaan musnah.

"Selain MyKad, MyKid yang dikeluarkan secara percuma kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun atau sebaik mendaftar kelahiran bayi juga ada yang tidak dituntut ibu bapa masing-masing.

"Kita berharap pemohon dapat menuntut kad pengenalan mereka dengan segera sebelum notis denda dikeluarkan.

"Mereka juga perlu ingat sekiranya ingin memohon semula kad pengenalan baru, turut dikenakan denda kerana sistem kita akan mengesan rekod mereka yang gagal menuntut kad terdahulu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, kebanyakan pemohon yang gagal menuntut MyKad itu disebabkan faktor usia tua, terlupa, sibuk bekerja dan mereka terdiri daripada golongan warga emas serta mereka dalam lingkungan umur 20 dan 35 tahun.

Katanya, mereka yang sengaja memandang remeh soal tuntutan kad pengenalan itu turut berhadapan denda dengan nilai yang lebih tinggi selain disoal siasat oleh JPN jika melibatkan kes berulang.

"Orang ramai yang hilang MyKad secara sengaja atau tidak sengaja juga akan dikenakan denda RM100 bagi kes pertama, kes kedua (RM200) dan kes ketiga (RM300).

"Namun, jika masih berulang, bayaran denda tetap RM300. Bagaimanapun, mereka tetap disoal siasat JPN bagi mengelakkan berlakunya unsur-unsur penipuan," katanya.

Setakat ini, jelas beliau, pihaknya mengambil pendekatan menghantar surat makluman dan menelefon pemohon untuk memaklumkan tentang perkembangan permohonan mereka.

Beliau turut mengingatkan pemohon perlu ke JPN untuk mengambil MyKad mereka.

"Sekiranya tidak mampu berbuat demikian atas alasan uzur mahupun masalah lain, pihak ketiga perlu membawa bersama surat kebenaran pemohon bagi mengelakkan perkara berbangkit," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang permohonan MyKad mereka boleh menghubungi JPN Cawangan Terengganu di talian 09-6301031.

No comments:

Post a Comment