Tuesday, March 1, 2011

Masjid Kristal Antara Potenasi Besar Tarikan Pelancong

Rosmah Mansor (tengah) ketika melawat pameran Peraduan Merekabentuk Masjid MACMA & Kompleks Kebudayaan Islam. Turut hadir (dari kiri): Ar. Boon Chee Wee, Dr Mustapha Ma serta Nafesah Raja Nong Chik (kanan).

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata banyak masjid di negara ini dilihat berpotensi besar menjadi tarikan pelancong.

Ini termasuk Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal di Terengganu.

Katanya masjid bukan sahaja menjadi mercu kepada keunikan agama Islam malah membuktikan bahawa agama tersebut adalah milik semua serta tidak tertakluk kepada satu kaum sahaja.

"Bagi sesetengah umat Islam, daya tarikan ini kelihatan seperti biasa, namun bagi masyarakat lain, itu adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam dan sewajarnya umat Islam mengambil peluang ini memperluaskan pengetahuan mengenai Islam dalam seni pelancongan, katanya.

Menurut beliau, Masjid Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia) bercirikan reka bentuk Cina yang bakal dibina di ibu negara, berpotensi menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Menurutnya, cadangan pembinaan masjid itu di Jalan Davis di Kuala Lumpur, akan turut menempatkan Kompleks Kebudayaan Islam.

"Pendekatan dakwah yang unik, sistematik dan terancang melalui pelbagai metodologi yang tersusun adalah dimensi baru yang perlu diketengahkan," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sijil dan anugerah kepada pemenang peraduan mereka bentuk masjid Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Kompleks Kebudayaan Islam semalam.

Turut hadir isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datin Nafesah Raja Nong Chik dan Presiden Macma Datuk Dr Mustapha Ma.

Sebanyak 58 penyertaan diterima tetapi hanya 11 syarikat layak ke pusingan akhir dan dari jumlah tersebut dua syarikat telah dipilih menerima anugerah khas rekaan terbaik. Dua syarikat tersebut ialah Zon Design Rekabina Sdn Bhd dan Ang Wen Hsia dan Ang Boo Chung.

Masjid tersebut merupakan masjid pertama di Kuala Lumpur bercirikan konsep seni bina Cina.

Rosmah berkata masjid dan kompleks kebudayaan Islam itu bakal mengaplikasikan idea-idea segar menerusi penceritaan dan penerangan sejarah Islam terdahulu, bermula dengan pengembaraan Laksamana Muhammad Cheng Ho ke nusantara.

Sementara itu, Dr Mustapha berkata kos pembinaan masjid itu dianggarkan RM100 juta.

"Sebelum ini, kerajaan ada umumkan untuk beri wang suntikan RM1 juta bagi projek ini...pada masa sama, kami harap majlis agama Islam terutamanya Wilayah Persekutuan serta syarikat swasta datang membantu kami," katanya.

No comments:

Post a Comment