Tuesday, March 1, 2011

Penyu Cipta Kemenangan Kedua Tewaskan KL

Beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata memberi kelebihan kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim apabila berjaya mengecewakan Kuala Lumpur 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Hasil kemenangan diperoleh itu turut melebarkan lagi peluang Terengganu untuk memburu kejuaraan pada perlawanan Liga Super 2011 yang mana setakat ini Skuad Penyu berjaya merekodkan dua kemenangan daripada lima perlawanan.

Abdul Hadi Yahya mencuri tumpuan penyokong Skuad Penyu apabila berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke–38 dan jaringan itu kekal hingga ke separuh masa pertama.

Memulakan separuh masa kedua, Terengganu terus bijak mengambil peluang apabila berjaya mencipta jurang jaringan menerusi tonggak utama, Ashaari Shamsudin pada minit ke-53 dan tuan rumah dilihat lebih menguasai 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun, pelawat cuba bangkit dengan menggandakan asakan dan pada minit ke –83, pemain pasukan Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong berjaya merapatkan jurang gol, namun keputusan 2-1 kekal hingga ke minit akhir perlawanan.

Sementara itu, seorang peminat pasukan Terengganu yang ditemui, Mohd Norhafiz Helmi, 27 berkata, meskipun aksi Skuad Penyu tidak sehebat diharapkan, namun dia tetap berpuas hati dengan kemenangan itu.

“Selaku penyokong setia Terengganu, saya berharap agar pemain terutamanya kawalan di barisan pertahanan diperkuatkan lagi bagi memastikan pasukan lawan tidak berjaya membolosi gawang gol.

“Namun, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi ditunjukkan dan berharap Terengganu berjaya mara ke peringkat lebih tinggi dan memastikan penyokong tidak dihampakan nanti,” katanya kepada Sinar Harian

No comments:

Post a Comment