Tuesday, March 1, 2011

MB Minta ADUN, PPD Wujudkan Kelas Maya di Kawasan Masing-Masing

E-Book diagihkan untuk semua murid tanpa mengira keturunan di Terengganu menggambarkan betapa kerajaan negeri menekankan demokrasi pendidikan. - Gambar ZulPutra.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta wakil rakyat dan Pengarah Pembangunan (PPD) Dewan Undangan Negeri menyediakan peruntukan antara RM30,000 hingga RM90,000 bagi menyediakan kelas maya di kawasan masing-masing.

“Langkah ini cukup penting bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri supaya di setiap DUN, sekurang-kurangnya mempunyai satu kelas maya. Pilihan sekolah bergantung kepada wakil rakyat dan PPD itu sendiri.

“Setiap kelas maya memerlukan antara RM25,000 hingga RM30,000, sekiranya di sekolah itu mempunyai tiga kelas, kos diperlukan berjumlah antara RM75,0000 hingga RM90,000,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengagihkan RM1 juta di bawah peruntukan projek-projek kecil di setiap DUN.
Kerana itu beliau mengharapkan pemimpin setempat mengeluarkan perbelanjaan untuk tujuan ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah kawasan DUN Ladang.

Menurutnya, kelas maya mudah untuk dilaksanakan kerana Terengganu kini mencatatkan pengguna paling tinggi di wilayah Pantai Timur yang melanggan perkhidmatan jalur lebar , sekaligus membuktikan masyarakat di negeri ini `celik IT’ dan semakin berkemampuan.

Menurut Ahmad Said, perkembangan positif ini membuktikan rakyat di Terengganu tidak ketinggalan dengan arus pembangunan terutama berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Lebih membanggakan, ia mampu mengatasi negeri jiran iaitu Kelantan dan Pahang dalam penggunaan internet dan melanggan perkhidmatan jalur lebar.

“Apabila wujud kelas maya yang bakal dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan, iaitu sekurang-kurang satu sekolah, stastitik sedia ada akan meningkat.
Ini kerana pelajar, guru mahu pun masyarakat luar boleh menggunakan talian internet kelas maya jika berada berdekatan,” katanya.

Pada majlis itu seramai 844 pelajar Tahun Lima membabitkan lapan sekolah di DUN itu menerima e-Book secara percuma yang diagihkan sendiri Ahmad Said.

Hadir sama, Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Zubir Embong, Pegawai Pembangunan DUN (PPD), Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment