Tuesday, March 1, 2011

Rangkaian Kerjasama Usahawan RISDA Di Setiap Negeri

RISDA bercadang mewujudkan rangkaian kerjasama antara semua usahawannya seluruh negara dengan mewujudkan satu pelan perlaksanaan pembangunan usahawan pekebun kecil yang lebih sistematik.

Ia akan dilakukan melalui Kelab Usahawan Risda (RISEC) dan ketika ini sebanyak sembilan RISEC sudah diwujudkan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA, Datuk Wan Mohd. Zuki Mohamad berkata semalam, RISDA merancang menubuhkannya di setiap negeri.

Beliau yang mewakili Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata demikian selepas melancarkan dan Menyampaikan Geran RISEC Terengganu dan penyampaian bantuan RM60,000 kepada 45 Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri itu di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang semalam.

RISDA berusaha memperkasakan RISEC untuk melahir lebih ramai usahawan kalangan pekebun kecil dan mensasarkan 10,000 usahawan menjelang 2015.

Katanya, ia akan dilakukan melalui Institusi Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK) latihan teknikal, pengurusan ladang, kemahiran dan keusahawanan ditingkatkan untuk memberi ilmu pengetahuan, ketrampilan , kredibiliti dan potensi kepada mereka.

“RISDA sentiasa mengambil usaha berterusan untuk membuka mata dan pemikiran terhadap dunia keusahawanan sebagai langkah meningkatkan pendapatan pekebun kecil, “ katanya.

Impian RISDA ialah menjadikan satu kelab satu negeri dan berharap ia menjadi suatu realiti tidak lama lagi.

“Satu Majlis Perundingan Usahawan dan RISEC Kebangsaan telah diwujudkan pada akhir tahun lalu untuk menyatu dan menyelaras aktiviti usahawan serta memberi mereka ruang untuk saling berinteraksi,” katanya.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti akan dianjurkan seperti program Pembudayaan Usahawan, Tambah Nilai Produk, Pemasaran dan Promosi serta Integrasi Usahawan dalam usaha melahirkan usahawan berjaya dalam pasaran global.

“RISDA juga menyediakan peluang untuk pekebun kecil terlibat secara langsung dan aktif dalam aktiviti huluan dan hiliran industri getah contohnya teknologi maklumat dengan aplikasi system e-usahawan yang sedang dibangunkan oleh RISDA,” katanya.

Katanya, bantuan modal turut disediakan di bawah program ekonomi tambahan dan pinjaman di bawah Tabung Pembangunan Sosio-Ekonomi Pekebun Kecil (TPSPK).

“Tahun ini RISDA memperuntukkan RM4.4 juta di bawah program pembangunan usahawan untuk melaksanakan aktiviti seperti seminar, klinik, kursus, promosi dan pemasaran,” kata Wan Mohd Zuki.

Katanya, mengikut kajian purata umur pekebun kecil berusia dalam lingkungan 60 tahun, masih kuat dan produktif namun barisan pelapis generasi muda diperlukan untuk meneruskan perjuangan dalam industri getah.

No comments:

Post a Comment