Monday, March 7, 2011

Najib : Terima Kasih Kepada Pengundi Merlimau, Kerdau

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau adalah sangat signifikan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dalam mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kerana menyokong BN, berkata kerajaan BN yang melakukan yang terbaik untuk mereka.

"Saya bersyukur, Allah S.W.T telah memberi dua kemenangan besar kepada BN. Terima kasih kepada semua pengundi di Merlimau dan Kerdau," katanya dalam mesej Tweeter malam semalam.

Kejayaan berganda dan bergaya BN ini dengan majoriti lebih besar, meneruskan trend kemenangan parti itu dalam lima pilihan raya kecil setakat ini.

Gabungan parti pemerintah telah memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi serta kerusi DUN Galas dan DUN Tenang sebelum ini.

Dengan kemenangan ini, BN telah memenangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 2008. Tiga lagi kemenangannya ialah di Bagan Pinang, Batang Ai dan Hulu Selangor.

Trend kemenangan itu membuktikan BN semakin mendapat sokongan rakyat selepas tsunami politik pada 2008 yang mengakibatkan BN kehilangan empat negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Hari ini, BN mengekalkan kerusi DUN Kerdau di Pahang dengan majoriti 2,724 undi apabila calonnya Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, memperoleh 5,060 undi berbanding 2,336 undi yang diraih calon PAS Hassanuddin Salim, 43, dalam pertandingan satu lawan satu.

Majoriti 2,724 undi yang diraih Syed Ibrahim jauh lebih tinggi daripada 1,615 undi yang dicatatkan pada pilihan raya umum 2008.

Dalam pilihan raya kecil Ahad, DUN Kerdau turut merekodkan 83 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar yang keluar mengundi, mengatasi jumlah peratusan pada pilihan raya umum pada 2008 (80.3 peratus) dan pada 2004 (79.7 peratus).

Di DUN Merlimau, Melaka, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh 5,962 undi untuk menewaskan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, dengan majoriti 3,643 undi. Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

Majoriti undi yang diraih Roslan juga jauh lebih tinggi berbanding 2,154 undi yang dicatatkan di kawasan itu pada pilihan raya umum pada 2008.

Jumlah yang keluar mengundi di Merlimau ialah 78.76 peratus daripada 10,679 pemilih berdaftar, yang mencatatkan peningkatan berbanding 76.18 peratus pada pilihan raya umum 2008. Pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim daripada BN pada 12 Feb.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan juga daripada BN pada 20 Jan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa mengulas keputusan pilihan raya kecil berkenaan di Jasin, Melaka, berkata kemenangan BN membuktikan penerimaan rakyat terhadap program ekonomi dan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga berkata ini menunjukkan penolakan rakyat terhadap perjuangan PAS.

No comments:

Post a Comment