Tuesday, March 1, 2011

Penanam Kelapa Disaran Beralih ke Baka Baru

Petani di negeri ini digalakkan supaya menggantikan pokok kelapa sedia ada kepada tanaman kelapa matag yang lebih produktif dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Md. Yusof Maidin berkata, hasil penyelidikan mendapati kelapa hibrid itu mampu memberi pulangan lumayan.

Menurutnya, kelapa matag yang isinya lebih tebal serta banyak santan mampu berbuah lebat antara 15 hingga 25 biji setandan berbanding kelapa biasa kira-kira 10 biji.

"Kelapa yang dikacuk hasil pendebungaan silang antara kelapa rendah Malaya dan kelapa tagnanan dari Filipina ini boleh ditanam sehingga 170 pokok sehektar dan mampu mengeluarkan buah sehingga 40,000 biji.

"Ia bakal mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam dengan jangka hayatnya antara 25 hingga 30 tahun," katanya dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Terengganu semalam.

Tambah Md. Yusof, kawasan seluas 250 hektar di Kampung Baru Bukit Kecil, Setiu, sudah dikenal pasti sebagai projek perintis penanaman secara ladang.

Katanya, dengan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM25.76 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam Bajet 2011 bagi sektor pertanian, petani disaran merebut peluang itu lebih-lebih lagi isu kekurangan bekalan santan sering menjadi isu dalam pasaran.

"Baka yang diperoleh dari Teluk Intan, Perak ini mempunyai ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang cepat serta pelbagai guna seperti pengeluaran santan, air kelapa muda dan kelapa kering untuk minyak," katanya.

Dengan mengambil kira kelebihan tanaman itu katanya, pihak jabatan telah mengagihkan 7,068 benih kepala matag kepada pekebun kecil di seluruh negeri pada tahun lalu.

"Baka ini mempunyai ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang cepat dan tidak cerewet untuk dijaga serta pelbagai guna seperti pengeluaran santan, air kelapa muda dan kelapa kering untuk minyak," katanya.

No comments:

Post a Comment