Tuesday, March 1, 2011

Terengganu Teliti Pelbagai Sudut Sebelum Benarkan Pameran Alam Mistik

Ahmad Said memberi perangsang kepada satu pasangan kembar pada penyampaian e-Book bagi DUN Ladang di Kuala Terengganu semalam.

Kerajaan negeri Terengganu akan melihat secara terperinci sebelum memberi sebarang keputusan berhubung pameran alam mistik yang dicadang diadakan selama tiga bulan mulai April ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dahulu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kalau Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengeluarkan lesen dan kalau pameran itu tidak boleh diadakan, kita akan tarik balik lesen.

"Kalau Majlis Fatwa kata tak boleh, tak bolehlah. Buat masa ini saya tidak boleh memberi keputusan lagi mengenainya," katanya selepas menyampaikan e-Book di Kuala Terengganu, semalam.

Pameran tersebut mahu dianjurkan oleh Dynasty Event Sdn Bhd yang dikatakan telah mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Terengganu, Jabatan Kebudayaan negeri, Majlis Penggalakan Pelancongan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Namun semalam Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan.

Ini kerana jawatankuasa tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan kurafat.

Menurut laporan akhbar kelmarin, menyedari pengaruh unsur-unsur mistik, tahyul, khayal, syirik dan pemujaan masih bersarang dalam masyarakat, pameran bertemakan ‘Masyarakat Berakidah’ akan diadakan pada April hingga Jun depan.

Jurucakap penganjur, Ahmad Ikhwan Mohamad berkata, pameran tiga bulan itu bagi memberi pendedahan tentang amalan yang bercanggah dengan akidah Islam itu.

Katanya, pameran yang bertempat di Dataran Syahbandar dekat Kuala Terengganu itu mampu memberi pendidikan kepada generasi baru tentang perkara berkenaan agar mereka tidak terjerumus dan terkeliru dengan hal itu.

“Walaupun dunia semakin moden, aktiviti seperti pukau, ‘tarik duit’, ‘tarik barang berharga’, sihir dan santau masih diamalkan disebabkan sikap taksub sesetengah kelompok terhadap kegiatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment