Sebahagian daripada pelajar UniSZA bersama keluarga angkat masing-masing di Bukit Besi, Dungun, Terengganu, baru-baru ini.
Cuma tiga hari namun ia sarat dengan pengalaman dan kenangan.
Itulah yang dirasakan oleh 80 pelajar dan kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) semasa menyertai program keluarga angkat di Bukit Besi,Dungun baru-baru ini.
Pengarah program berkenaan, Mohd. Bukhari Muhammad berkata, program itu memberi peluang kepada peserta untuk memiliki keluarga angkat dan tinggal bersama mereka yang kebanyakannya adalah petani dan pekebun.
Menurutnya, ia bertujuan mengetahui lebih dekat struktur masyarakat yang membawa kepada sebuah komuniti desa berorganisasi, bersatu padu, mesra, peramah dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Para peserta dan penduduk kampung teruja dengan pelbagai program bersama seperti kembara desa, kuliah agama, pertandingan sukan rakyat, acara sukaneka dan persembahan kebudayaan oleh pelajar UniSZA serta penduduk kampung.
“Pengalaman tiga hari itu turut diisi dengan program membersih serta mengecat masjid dan kawasan kampung, senamrobik serta aktiviti berkayak di Tasik Puteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program bertemakan ‘Setitik Budi Selaut Kenangan’ itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Datuk Din Adam.
Tambah Mohd. Bukhari, peserta turut berpeluang mendekatkan diri dengan murid sekolah dan pelajar cilik prasekolah untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman mereka berjaya ke universiti menyambung pengajian.
Katanya, turut dianjurkan bengkel motivasi dikendalikan oleh pelajar jurusan kaunseling dan psikologi bagi berkongsi tips pembelajaran cemerlang dan penganjuran pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.
“Program sebegini juga boleh memberikan pengalaman tambahan kepada golongan siswa untuk dimanfaatkan selepas meninggalkan kampus kelak,” katanya.
Sebelum berangkat pulang, para peserta bersama keluarga angkat masing-masing dibawa menikmati panorama indah di Taman Rekreasi Air Terjun Cemerung, dekat Dungun.
No comments:
Post a Comment