Tuesday, March 1, 2011

Peranan Imam, Bilal Penting Bagi Penyatuan Ummah - MB

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta bijak pandai Islam melihat fakta kenapa orang bukan Islam tidak berbalah mengenai agama mereka, malah mereka bersatu jika ada bencana menimpa atau rasa terancam.

Sebaliknya, mengapa orang Islam tidak boleh bersatu seperti mereka, tanya beliau.

Beliau turut menimbulkan persoalan, mengapakah kerana hanya tidak bersependapat mengenai perkara-perkara cabang dalam Islam kita mula memusuhi saudara Islam kita sendiri.

Menyedari sukarnya mengatasi masalah pertelingkahan seperti ini, Kerajaan Negeri berharap Imam dan Bilal turut memainkan peranan mengurangkan polemic dan perbalahan antara umat Islam di Terengganu.

“ Di sinilah letaknya amanah dan kepercayaaan kerajaan kepada warga Imam dan Bilal. Jika kita menghendaki kebaikan, kita akan mendapat kebaikan. Jika kita menghendaki kemusnahan, kita akan menerima akibatnya, “ katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif : Multaqa YAB Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam petang semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Datuk Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Haji Nuh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menurut Menteri Besar, warga Imam dan Bilal merupakan sebuah institusi barisan hadapan yang dapat mencorakkan pemikiran rakyat.

Mereka juga ejen penting dalam menyampaikan hasrat kerajaan untuk memajukan negeri ini serta membina umat yang berdaya maju.

Beliau berharap oleh kerana jawatan Imam dan Bilal adalah jawatan yang sangat penting dalam masyarakat Islam, mereka sewajarnya mewarisi peranan yang dimainkan oleh Rasulullah S.A.W. bukan sahaja dalam membimbing solat malah penting dalam membentuk masyarakat yang berdaya maju.

“Mereka simbol penyatuan umat dan melalui ibadat solat berjemaah, setiap umat Islam perlu mengetepikan segala bentuk perbezaan yang ada dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu Imam.

Jika berlaku solat dua Imam, ia jelas menunjukkan masyarakat di kawasan itu telah dipisahkan oleh politik. Mengapa kita mesti mempamerkan keegoan kita kepada masyarakat yang mengharapkan bimbingan dari kita supaya menjadi umat yang lebih baik?”

Katanya, sebagai pemimpin masyarakat setempat, personality setiap Imam haruslah sentiasa dijaga agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Imam-imam hendaklah sentiasa kelihatan hebat pada setiap waktu dan ketika.

Beliau berharap Imam-Imam dapat menyediakan diri dengan ilmu yang mencukupi yang membolehkan mereka bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu Fardhu Ain sahaja malah mesti menguasai kemahiran lain seperti ilmu Psikologi, Kaunseling dan sebagainya.


Selainn itu menurut beliau, Imam-Imam juga boleh mengambil peluang menjadi Guru Ta’mir yang mengajar di masjid-masjid dan memberikan khidmat nasihat agama di masjid selain membuka kelas pengajian berkaitan agama dan kebudayaan Melayu seperti marhaban, berzanji, qasidah dan sebagainya.

“Jika usaha ini tidak dimulakan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti ilmu-ilmu ini akan luput ditelan zaman. Selain daripada itu para Imam dan Bilal juga perlu mahir dalam ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti ilmu pentadbiran, teknologi, teknologi maklumat dan sebagainya, “ ujar beliau.

Soal penting ialah sejauh mana Imam-Imam dapat menjadi penggerak dan pemangkin bagi segala kegiatan masyarakat setempat kerana baik atau buruk sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada sejauh mana mereka memenuhi tanggungjawab dan melaksanakan peranan mereka.

No comments:

Post a Comment