Sunday, March 20, 2011

Polis Buru 3 Lagi Rakan Kumpulan Sindiket Curi Kereta

Polis masih memburu tiga lagi rakan kumpulan sindiket mencuri kereta bagi membantu siasatan selepas 13 orang termasuk seorang L/Koperal polis ditahan.

Mereka ini dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri kereta untuk diambil bahagian tertentu dan dijual sebagai alat ganti.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata Khamid lalu, hasil serbuan di beberapa buah bengkel kereta dan rumah orang perseorangan pada 8 Mac lepas, seramai 11 orang berjaya ditahan.

"Pada awalnya kita tahan 11 orang dan semalam kita menahan dua orang lagi termasuk seorang anggota polis berpangkat L/Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Marang," katanya di Kuala Terengganu.

Belum diketahui sama ada polis sudah berjaya menahan tiga suspek berkenaan kerana belum ada pengumuman dibuat sehingga ini.
Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas 10 buah kereta, selain menemui komponen kereta seperti pintu, enjin, nombor casis, badan kereta serta peralatan yang digunakan untuk memotong kereta.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 30 hingga 40 tahun dan kebanyakan mereka bekerja sebagai mekanik di bengkel yang tidak mempunyai lesen perniagaan.

Manakala anggota polis berumur 43 tahun itu yang ditahan di Marang malam tadi sudah berkhidmat dengan polis sejak 21 tahun lalu dan suspek telah diserahkan kepada polis Subang Jaya berhubung kes kecurian kereta di sana.

Jamsah berkata, dua daripada mereka ditahan reman sehingga esok dan dua lagi sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan, manakala yang lain dibebaskan.

Katanya, ekoran daripada kejayaan itu, polis telah dapat menyelesaikan enam kes curi kereta di Kuala Terengganu dan satu di Subang Jaya.

Beliau berkata kereta yang menjadi sasaran sindiket itu ialah kereta nasional seperti Proton Iswara, Waja, Iswara Aeroback, Satria, Saga, Wira dan Perodua Kelisa.

No comments:

Post a Comment