Tuesday, March 1, 2011

Polis Buru Lelaki Bakar Rumah Sendiri

Keratan muka depan akhbar Sinar Harian semalam yang turut melaporkan kejadian

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis kini memburu lelaki berusia 39 tahun itu yang membakar rumahnya hingga ranap.

Kejadian berlaku akibat perselisihan faham dan perbalahan dengan isteri dan lelaki berkenaan bertindak nekad membakar rumah mereka di Kampung Balik Bukit, Setiu, kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin.

Manoharan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai mendakwa kebakaran itu dilakukan suaminya berikutan suspek ada mengugut untuk membakar rumah itu ketika mereka bertengkar sebelum kejadian.

Mangsa dan empat anak mereka kini menumpang di rumah saudara mereka di Besut dan suspek masih menghilangkan diri.

“Selepas menyedari rumah mereka terbakar, isteri suspek berusaha memadamkan kebakaran dengan bantuan jiran. Bagaimanapun, apabila pasukan Bomba tiba di tempat kejadian, rumah itu sudah musnah.

“Susulan kejadian, isteri suspek yang juga ibu kepada empat anak berusia antara tiga dan sembilan tahun berasal dari Besut, membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kira-kira jam 3.40 pagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment