Tuesday, March 1, 2011

Jangan Cepat Terima Tohmahan Pembangkang

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Ramli Nuh mengingatkan masyarakat Terengganu agar tidak cepat menerima sebarang tohmahan yang dilempar pembangkang.

Menurutnya, pembangkang kerap berpandangan serong terhadap kerajaan walaupun apa yang dirancang dan dilaksanakan bertujuan untuk memberi keselesaan serta kedudukan terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

Lebih mengecewakan katanya, pihak tersebut juga lebih suka meletakkan keburukan kepada orang lain tanpa melihat kelemahan sendiri.

“Mereka selalu melihat apa yang kita lakukan adalah untuk tujuan politik semata-mata, padahal kita melakukan demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

“Dia (pembangkang) juga suka meletakkan keburukan pada orang lain,” katanya semalam.

Muhammad Ramli berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan tindakan pembangkang itu dan sedar bahawa ia semata-mata untuk memenuhi agenda bagi mendapat sokongan rakyat di semua peringkat.

Beliau berkata, ada segelintir yang mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang akan terikut-ikut dengan pandangan yang dibawa pihak tersebut, sehingga menganggap apa yang dilakukan kerajaan tidak berasaskan keikhlasan.

Pada masa sama, beliau tidak menolak pandangan serong pembangkang sengaja diada-adakan bertujuan memastikan kerajaan sedia ada tumbang.

“Sepatutnya kita semua bersyukur dengan nikmat keamanan yang diperoleh ketika ini yang tidak mampu dirasai umat Islam di negara lain seperti masyarakat Islam Kemboja yang amat daif dan miskin.

“Bagi pembangkang pula, mereka akan cuba cetuskan isu untuk mencari kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment