Wednesday, March 2, 2011

PPK 25 Membudayakan Ilmu Islam di Kalangan Belia

Bagaikan menemui cara mendekatkan belia kepada Islam, Kerajaan negeri mengumumkan Pengisian Kerohanian Untuk Golongan 25 Tahun Ke Atas (PPK 25) kelmarin dengan meletakkan pembudayaan ilmu sebagai cara hidup masyarakat Islam golongan berkenaan.

PPK 25 ialah projek besar kerajaan negeri dalam usaha memantapkan lagi keupayaan dan keberkesanan pengajaran, penyebaran dan pegangan agama Islam di kalangan rakyat, khususnya belia.

Ia diumumkan dan dilaksanakan berikutan kebanyakan program berbentuk keagamaan yang dirancang oleh kerajaan selama ini kurang mendapat sambutan di kalangan generasi muda dan memerlukan pendekatan baru.

Pendekatan ini amat penting dan seiring dengan usaha mengimarahkan masjid dan menjadikan institusi itu sebagai pusat kecemerlangan, membudaya al-Quran dalam kehidupan dan mewujudkan masyarakat yang memiliki kesedaran dan keprihatinan tinggi terhadap masalah sosial dan jenayah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada siri ceramah kepimpinan yang dianjurkan kerajaan negeri bagi membentuk kekuatan dalaman dan jati diri imam dan bilal di negeri ini.

Mazlan menjelaskan, sebagai wadah pendekatan kerajaan negeri untuk membudayakan ilmu yang disasarkan khusus kepada golongan belia, usaha itu mendapat kerjasama penuh daripada warga akademik universiti tempatan itu.

"Kerana itu, kita harap program yang dilakukan melalui PPK 25 mampu menarik golongan tersebut untuk turut serta dalam program berbentuk keagamaan yang dirancang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Multaqa Imam, Bilal dan jawatankuasa Masjid negeri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan PPK 25 sebagai usaha memantapkan lagi keupayaan dan keberkesanan pengajaran dan penyebaran agama Islam di Negeri Terengganu.

Kerana itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) diminta merancang dan merangka PPK 25 ini kerana ia merupakan satu projek besar kerana jika ianya mencapai sasarannya.

"InsyaAllah Negeri Terengganu menjadi peneraju dan pendahulu dalam usaha ini di seluruh Malaysia dengan objektif nya ialah membudayakan ilmu sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat Islam Terengganu, menjadikan akidah, ibadah dan akhlak sebagai teras yang menunjangi kehidupan dan keperibadian masyarakat Terengganu.

Selain itu melaluinya ia memulih dan membangunkan imej institusi Masjid sebagai pusat kecemerlangan, menjadikan Al-Quran sebagai amalan dan budaya masyarakat Terengganu dan mewujudkan masyarakat Terengganu yang memiliki kesedaran dan kepedulian yang tinggi terhadap masalah sosial dan jenayah," kata beliau.

Berikutan itu, menurut Menteri Besar, bagi melicinkan lagi pentadbiran dan operasi bahagian Dakwah yang begitu sinonim dengan tugas-tugas urusetia di peringkat negeri, sudah sampai masanya diwujudkan Bahagian Keurusetiaan di JHEAT.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut menyampaikan imbuhan RM800 dan RM600 kepada lebih 2,000 imam dan bilal daripada 448 masjid di seluruh negeri.

Mazlan menyifatkan program sehari itu dimulakan dengan majlis ilmu pada sebelah pagi bertajuk ‘Survival menuju kemerdekaan’ yang disampaikan Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kapt (B) Dr. Shamsuddin Haji Moner @ Munir.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Kursus Pengimarahan Masjid-Masjid Terengganu berkata, lebih 3,000 imam, bilal serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid di seluruh negeri telah mengikuti kursus pengimarahan sejak Mei tahun lepas.

“Kursus yang diadakan pada kali ini merupakan kursus kesembilan dan yang terakhir dijangka dapat diselesaikan menjelang bulan April tahun ini,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment