Wednesday, March 2, 2011

Polemik Pameran Mistik - Penganjur Jangan Cepat Melenting

Gambar Hiasan - Satu Pameran Mistik

Apakah kerana kerajaan negeri mahu merujuk kepada pihak tertentu, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pameran objek mistik, penganjur menganggap keputusan itu sebagai 'salah tafsir'?

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan kelmarin tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan pameran selama tiga bulan mulai April itu tidak mendatangkan kesan kurang baik kepada umat Islam.

Malah, sudah jelas kenyataan Ahmad Said bahawa beliau akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dahulu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kalau Majlis Fatwa kata tak boleh, tak bolehlah. Buat masa ini saya tidak boleh memberi keputusan lagi mengenainya," katanya kelmarin.

Pameran dianjurkan oleh Dynasty Event Sdn Bhd yang dikatakan telah mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Terengganu, Jabatan Kebudayaan negeri, Majlis Penggalakan Pelancongan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Namun kelmarin Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar kiri) dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan.

Ini kerana jawatankuasa tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan kurafat.

Sebaliknya, Jurucakap penganjur, Ahmad Ikhwan Mohamad berkata, pameran yang bertempat di Dataran Syahbandar dekat Kuala Terengganu itu mampu memberi pendidikan kepada generasi baru tentang perkara berkenaan agar mereka tidak terjerumus dan terkeliru dengan hal itu.

“Walaupun dunia semakin moden, aktiviti seperti pukau, ‘tarik duit’, ‘tarik barang berharga’, sihir dan santau masih diamalkan disebabkan sikap taksub sesetengah kelompok terhadap kegiatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Dynasty Event, Dr. Abdul Manan Embong berkata, pameran itu bukan bertujuan memaparkan artifak dan objek mistik semata-mata, malah ia merupakan satu program untuk membendung akidah umat Islam daripada terus terpesong daripada landasan yang sebenar.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini telah berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan program yang dirancang mencapai objektif ditetapkan.

“Intipati pameran ini bukan sekadar untuk menonjolkan bahan seperti anak kerak, jenglot, batu atau objek mistik tetapi ia satu program pendidikan.

“Kami cukup kesal kerana hasrat murni penganjuran pameran ini telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak dengan memberi gambaran negatif mengenainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siapakah yang menyalah tafsir dan memberikan gambaran negatif?

Apakah pendapat Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai salah tafsir dan keterbukaan Menteri Besar untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebagai memberikan gambar negatif?

Dr Abdul Manan sudah mengataan pihaknya sedia berbincang dengan sesiapa sahaja agar tujuan asal program ini tidak disalah tafsir.

Jadi tunggu dahulu keputusan kerajaan negeri, lagipun sejauh ini Menteri Besar tidak mengatakan ia tidak boleh diadakan.

Dynasty Event yang pernah menganjurkan Pameran Artifak Sejarah Melayu di Selangor, Pameran Evolusi Tamadun Islam (Putrajaya), Pameran Iqrak (Pulau Pinang) dan Pameran Dunia Melayu Dunia Islam di Melaka sewajarnya tidak cepat melenting.

Perbincangan tertutup dengan pihak tertentu lebih baik daripada polimik di akhbar kerana apa juga keputusan kebenaran adalah hak kerajaan negeri.

Jika kerajaan negeri bersifat terbuka, penganjur juga perlu terbuka untuk sama-sama membincangkan kebaikan dan kemudaratan pameran seperti ini.

No comments:

Post a Comment