Wednesday, March 2, 2011

Risda Ingin Lebih Serius Sertai Industri Perabot Kayu Getah


Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengkaji penglibatan lebih serius dalam industri perabot berasaskan kayu getah yang berupaya menjana pulangan lumayan kepada pekebun getah negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (gambar kanan) berkata kajian awal telah dimulakan untuk mencari kaedah perlaksanaannya yang paling berkesan.

"Industri perabot berasaskan kayu getah bernilai antara RM9 bilion hingga RM10 bilion setahun. Ia sangat berpotensi untuk diterokai."

"Kajian mengenai perlaksanaannya sedang dibuat. Buat permulaan, kita cari formula dapatkan harga yang tinggi untuk penjualan batang pokok getah yang ditebang untuk program tanam semula melalui Koperasi Pekebun Kecil," katanya kelmarin.

Beliau yang mewakili Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik ditemui selepas melancarkan dan Menyampaikan Geran Kelab Usahawan Risda (RISEC) Terengganu dan penyampaian bantuan RM60,000 kepada 45 Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri itu.

Yang turut hadir Pengarah Risda Terengganu Zakaria Mat Zin.

Wan Mohamad Zuki berkata harga yang diperolehi pekebun untuk jualan batang pokok getah yang ditebang untuk program penanaman semula pada masa ini tidak tetap, iaitu dianggarkan antara RM5,000 dan RM7,000 sehektar.

"Sedangkan, di sebuah negara jiran, harga kayu getah yang dieksport mereka tingginya berkali ganda dari itu," katanya.

Sehubungan itu, katanya pihaknya melihat kemungkinan jualan kayu getah ini diselaraskan dan dibuat di depoh pembelian atau Pusat Timbang Stor (PTS) yang ada di negeri-negeri sebagaimana pembelian susu getah.

Katanya langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah terutama yang bergantung kepada hasil susu getah semata-mata.

"Kita juga melihat kemungkinan pergi lebih jauh dengan penghasilan perabot atau kraftangan daripada kayu getah sendiri oleh pekebun pada masa depan.

"Mungkin akan ada syarikat dan usahawan kita yang buat perabot dan kraftangan umpamanya lepas ini, bagaimana pun, ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment