Ahmad Said meluangkan masa bertanya khabar mangsa banjir di SRK Tok Jembal, petang semalam. - Gambar Harith Fadzilah.
YB kita bagus. Dia banyak bantu kita’ kata seorang wanita kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Wanita berkenaan, salah seorang mangsa banjir dan berpindah sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, dekat Kuala Terengganu menyatakan perkara itu sambil menunjukkan ibu jarinya tanda ‘bagus’.
Menteri Besar yang ketika itu melawat mangsa banjir di sekolah berkenaan diiringi Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, tersenyum puas.
Sementara itu TeganuKita melaporkan sikap prihatin dan cakna pemimpin nombor satu negeri, Ahmad Said turun padang bagi melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, mendapat pujian mangsa banjir.
Kemunculan Menteri Besar ‘turun padang’ amat melegakan mereka yang ditimpa musibah itu.
Hasil tinjauan itu, Ahmad berjanji untuk mengarahkan kerja-kerja membersih kembali longkang tersumbat, selain membina longkang bersaiz besar dalam masa terdekat.
Bagi pihak penduduk, mereka berharap arahan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Seorang mangsa banjir yang juga kakitangan kerajaan, Encik Syukur Amit, berkata dia dan keluarga redha dengan kejadian ini walaupun sudah lima kali berlaku banjir sejak lima tahun menetap di kawasan ini.
“Saya mengharapkan PBT membersih semua longkang yang tersumbat dengan kadar segera kerana dibimbangi kejadian sama akan berulang,” katanya kepada pemberita Teganukita. Puan Suhaila Salim, 35, berkata dia bernasib baik kerana kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini, suami Fauzi Lomel berada di rumah.
“Jika tidak situasi cemas dan kelam kabut seperti yang berlaku sebelum ini iaitu pada malam Khamis (24 Mac) lalu pasti berlaku lagi.
“Ketika kejadian pertama, saya bersama lima anak terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam untuk menyelamatkan diri kerana terlalu cemas apabila melihat air melimpah begitu pantas ke dalam rumah,” katanya.
Katanya, akibat kejadian kali kedua ini, pelbagai barangan kesayangan termasuk kelengkapan sekolah anak-anak rosak dan dihanyut air.
“Kami sekelurga tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dengan berada di kawasan selamat secepat mungkin,” katanya.
Tinjauan Teganukita mendapati semua kanak-kanak mangsa banjir sibuk menyertai pelbagai aktiviti seperti mewarna, melukis, bermain catur dan membaca anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
JKM menghantar tiga kakitangan untuk mengurus aktiviti itu semata-mata menghilangkan rasa bosan ketika berada di pusat pemindahan banjir.
Sikap segelintir individu yang gemar menjadikan longkang sebagai tong sampah sehingga mengakibatkan Taman Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu mengalami banjir kilat amat dikesali.
Kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini (Mac) menyebabkan 46 keluarga mengandungi 206 orang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal (SKTJ) bermula awal pagi semalam.
Ahmad Said ditemui wartawan, berkata banjir kilat yang melanda Taman Uda Murni adalah kali kedua dalam bulan ini dan semua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat hasil bantuan pelbagai pihak.
Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa membersihkan kembali semua longkang yang tersumbat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.
“Kontraktor berkaitan juga perlu bertangungjawab dalam perkara ini, kerana sering mengabaikan syarat-syarat ditetapkan sebelum membina longkang.
“Jika longkang yang ada sekarang ini dibina dengan saiz lebih besar, sudah tentu bencana seperti ini boleh dielak dan tidak akan berlaku,” katanya kepada media ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di SKTJ.
Katanya, bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa akan datang, PBT akan menyediakan lebih banyak longkang bersaiz besar di samping memastikan longkang tidak dicemari sampah sarap. “Longkang yang tersumbat akan dibuka dan dibersihkan bagi memudahkan air banjir melaluinya tanpa sebarang halangan,” katanya.
Menurutnya, setiap tahun puluhan juta dibelanjakan termasuk projek tebatan banjir bernilai RM5.6 juta di Taman Perumahan Pusu Tiga, Kuala Nerus .
“Alhamdullilah, penduduk di kawasan itu kini sudah berasa lega dan tidak lagi cemas setiap kali hujan lebat melanda.
No comments:
Post a Comment