Tuesday, March 1, 2011

Simposium Tekstil Tradisional ASEAN di TTI

Malaysia buat pertama kali akan menjadi tuan rumah Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-3 yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada 21 dan 22 Mac ini.

Kali pertama simposium itu diadakan ialah di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009.

Simposium kali ini dijangka dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 21 Mac manakala untuk malam Gala pada hari berikutnya dijangka dihadiri Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Presiden ASEAN Traditional Textiles Art Community (ASEANTTAC), Prof. Sulaiman Abdul Ghani berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama kerajaan Terengganu dengan ASEAN Foundation yang berpejabat di Jakarta.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE) memberitahu, simposium kali ketiga ini dijangka disertai peserta dari seluruh negara ASEAN.

"Selain itu, ia juga akan dihadiri wakil daripada Hong Kong, Kanada, Amerika Syarikat (AS) di samping pembentang kertas kerja oleh wakil dari Perancis dan Australia.

"Kita berbangga kerana ini adalah kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah simposium kali ini yang akan berlangsung di TTI Terengganu," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau menjelaskan, Terengganu dipilih menjadi tuan rumah kerana terkenal sebagai negeri pengeluar batik dan songket selain berhasrat menjadi pusat pembangunan tradisi tekstil di rantau ini.

Menurut Sulaiman, objektif simposium itu antara lain untuk berkongsi teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan serta pengekalan tekstil di rantau ASEAN.

Malah jelasnya, program itu juga bagi memastikan tekstil yang selama ini menjadi tradisi ASEAN akan terus hidup dan diminati generasi muda.

No comments:

Post a Comment