Tuesday, March 1, 2011

Takaful Ikhlas Menang Anugerah Penyedia Takaful Terbaik Berita Kewangan Islam (IFN 2010)

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman (kanan) menerima anugerah Penyedia Takaful Terbaik 2010 menerusi Anugerah Berita Kewangan Islam (IFN) 2010 daripada Pengarah Urusan RedMoney Andrew Morgan. Foto: Ihsan: Takaful Ikhlas.

Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) dipilih sebagai Penyedia Takaful Terbaik, bagi anugerah Berita Kewangan Islam (Islamic Finance News) 2010 buat kali ketiga berturut-turut.

Takaful IKHLAS mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di Pejabat Korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.

"Penghargaan ini merupakan satu penilaian penting kepada kualiti produk kami dan dedikasi yang konsisten kepada pasukan kami," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Takaful IKHLAS sentiasa menekankan faktor kepuasan pelanggan dan memenangi pelbagai anugerah untuk perkhidmatan produk yang ditawarkan semenjak syarikat mula beroperasi pada 2003, katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga hari ini, Takaful IKHLAS yang menawarkan rangkaian produk keluarga dan am yang komprehensif mempunyai lebih 1.7 juta pemegang sijil polisi berdaftar dan 7,000 orang ejen di seluruh Malaysia.

Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah Syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

No comments:

Post a Comment