Wednesday, March 2, 2011

SUK Terengganu Sertai Matta Pada Pameran di PWTC

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan perolehan kira-kira RM100 juta pada pesta dan pameran 'Matta Fair' yang berlangsung selama tiga hari mulai 11 Mac ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Antara pempamer utama ialah Five Stars Travel Sdn Bhd yang menduduki 36 ruang pameran, Tourism Australia dan Kementerian Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia (masing-masing 20 ruang), Lembaga Pembangunan Langkawi, Lembaga Pelancongan Sabah dan SUK Negeri Terengganu (masing-masing 12 ruang).

Pengerusi jawatankuasa penganjur John Tan berkata lebih 350 organisasi pelancongan termasuk pejabat pelancongan asing, agensi pelancongan, hotel, syarikat penerbangan dan syarikat lain yang berkaitan akan mempamerkan produk mereka di 978 ruang pameran meliputi kawasan seluas 23,200 meter persegi.

"Kami menjangkakan banyak pengunjung yang berkualiti. Saya fikir jumlah 80,000 pengunjung itu sangat selesa bagi tempoh tiga hari," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.

Pengurus Pemasaran SBU Perkhidmatan Antarabandar, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Noordin Kimi berkata KTMB sebagai rakan kongsi Matta Fair sejak 2003, akan menyediakan pelbagai program promosi dan jualan KTM Antarabandar sempena pameran berkenaan.

Katanya antara program itu ialah 'All in 1Malaysia: Lebih Ramai Lebih Mesra, Lebih Murah', 'Selamat Datang ke Matta Fair-Tambang Murah Pameran Meriah', 'Selamat Datang ke Booth Intercity-Jualan Tiket Murah Menanti' dan hadiah misteri setiap hari dari Intercity.

Katanya setiap program itu menawarkan potongan 25 peratus daripada tambang perjalanan kepada pengunjung Matta Fair manakala hadiah misteri akan diberi kepada pengunjung ke-1,000 setiap hari.

"KTM Intercity juga menyumbangkan 20 baucar tiket percuma kepada Matta untuk dijadikan hadiah pertandingan anjuran pengurusan Matta semasa pameran ini berlangsung.

"Melalui cara ini, kita akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara malah jualan tiket juga meningkat menerusi pakej pelancongan yang ditawarkan," katanya.

Mohd Noordin berkata KTMB, yang memperoleh RM2 juta hasil jualan tiket menerusi pakej pelancongan tahun lepas berbanding RM1 juta pada 2009, menyasarkan jualan tiket RM3 juta pada pameran Matta kali ini

No comments:

Post a Comment