Terengganu Development Management (TDM) Berhad, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah hospital pakar swasta bernilai RM120 juta di Kuantan.
Pengerusinya Datuk Roslan Awang Chik berkata hospital setinggi tujuh tingkat, yang dijangka siap pembinaannya tahun depan, bakal dilengkapi dengan kemudahan teknologi perubatan terkini.
"Hospital baru itu untuk menggantikan bangunan hospital lama yang sedia ada di Kuantan kerana ruangnya semakin terhad," katanya di sini Isnin.
Roslan berkata hospital baru itu juga akan muncul sebagai hospital pakar swasta yang terbesar di wilayah Pantai Timur.
Sebelum ini TDM sudah mempunyai tiga buah hospital bersaiz sederhana iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital di Terengganu, Kelana Jaya Medical Centre di Selangor dan Kuantan Medical Centre di Pahang.
Roslan berkata adalah menjadi matlamat TDM untuk kekal sederhana dengan konsep pakar perubatan komuniti yang menawarkan penjagaan kesihatan tanpa elemen-elemen kemewahan.
"Atau dengan lain perkataan, perkhidmatan yang ditawarkan menitikberatkan pelanggan atau pesakit dan seterusnya mampu dinikmati oleh orang ramai," katanya.
Beliau berkata perkhidmatan di semua hospital TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital di negara-negara maju.
Dalam hal ini, TDM terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk menawarkan khidmat kepada orang ramai, katanya.
No comments:
Post a Comment