Pengusaha bot pelancong di negeri ini diingatkan supaya mempertingkat aspek keselamatan penumpang agar imej Terengganu sebagai negeri pelancongan tidak tercalar.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad said berkata kejadian bot terbakar dan karam ketika membawa pelancong di perairan Pulau Perhentian semalam tidak akan terjadi jika pengusaha memberi penekanan kepada keselamatan penumpang.
"Kita tidak mahu lagi berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini hingga boleh mencederakan pelancong," katanya kepada pemberita selepas melawat seorang pelancong yang cedera dan dirawat di Hospital Daerah Besut di Jerteh, semalam.
Ahmad berkata kejadian semalam boleh disifatkan kes terpencil dan berharap ia tidak menjejaskan jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Perhentian yang terkenal dengan keindahan menakjubkan itu.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi semalam, sebuah bot pelancong yang dalam perjalanan ke Pulau Perhentian terbakar kira-kira setengah jam setelah berlepas dari Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini.
Ketika kejadian, bot itu membawa 40 penumpang terdiri dari tiga pelancong asing, 33 pelancong tempatan dari Melaka, dua penduduk Pulau Perhentian serta pemandu bot dan pembantunya. Kesemua mereka diselamatkan oleh bot nelayan di kawasan itu.
Tiga penumpang yang melecur kini dirawat di Hospital Besut manakala yang lain termasuk 17 kanak-kanak dan remaja berumur antara tiga dan 15 tahun ditempatkan di sebuah resort di Bukit Keluang di Besut.
Seorang pelancong tempatan, Jaafar Aman, 38, berkata beliau telah lama merancang untuk melancong ke pulau itu tetapi pengalaman yang menakutkan semalam menyebabkan beliau serik dan tidak lagi berhajat meneruskan percutian ke pulau peranginan itu.
"Saya dan isteri Norima Othman, 36, tidak dapat melupakan saat cemas ketika bot sedang marak terbakar dan kami hanya mengambil tindakan terjun ke laut apabila keseluruhan bot hampir musnah.
"Sungguh menakutkan melihat api yang marak dengan cepat, mujur juga bot penyelamat cepat sampai di lokasi kejadian," katanya.
"Saya dan isteri Norima Othman, 36, tidak dapat melupakan saat cemas ketika bot sedang marak terbakar dan kami hanya mengambil tindakan terjun ke laut apabila keseluruhan bot hampir musnah.
"Sungguh menakutkan melihat api yang marak dengan cepat, mujur juga bot penyelamat cepat sampai di lokasi kejadian," katanya.
No comments:
Post a Comment