Wednesday, March 16, 2011

Terengganu Tuan Rumah Simposium Tekstil Tradisi Asean

Satu simposium mengenai tekstil tradisi Asean akan diadakan di Taman Tamadun Islam di sini selama tiga hari mulai 21 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual merasmikan simposium tersebut.

"Ini pertama kali Terengganu menjadi tuan rumah simposium seumpama ini bagi pihak Malaysia. Antara objektif simposium ialah untuk mengenal pasti punca atau asal usul songket dan tekstil Asean.

"Yang lebih penting lagi ialah untuk mengenal pasti bagaimana Asean hendak menghadapi cabaran supaya tekstil mereka tidak pupus pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian 1Asean 1Jalinan di Kuala Terengganu, semalam.

Peserta dari negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam akan menyertainya di samping dari negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea dan Australia.

"Seramai 330 peserta terdiri daripada para pengusaha, pemilik syarikat, pencinta seni songket dan tekstil akan hadir," kata Mohamed.

Beliau berkata Terengganu sendiri telah mempromosi songket dan batik ke negara-negara Eropah tahun lepas.

No comments:

Post a Comment