Sunday, March 6, 2011

YPU Berjaya Perkenalkan Produk Makanan Terengganu Di Dubai

Kerajaan negeri Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berjaya memperkenalkan produk makanan negeri ini di Ekspo Makanan Antarabangsa yang diadakan selama empat hari bermula 27 Februari lalu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata YPU mempamerkan lapan jenis produk makanan dari negeri ini termasuk kopi berasaskan belut untuk kesihatan.

"Ini tahun kedua kita mempamerkan produk-produk makanan Terengganu di ekspo yang berlangsung itu.

"Selain kopi berasaskan belut, produk lain seperti murtabak dan susu krim juga mendapat banyak pertanyaan daripada pengedar-pengedar barangan makanan di Dubai," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata ekspo tersebut disertai lebih 80 buah negara dan Dubai merupakan lokasi transit makanan halal dari negara-negara lain ke seluruh dunia.

Mohamed berkata YPU akan mengambil langkah susulan dengan menghubungi pengedar-pengedar makanan di Dubai untuk mengetahui barangan yang diperlukan untuk pasaran di sana.

Beliau berkata sebelum itu, YPU melawat turut melawat Oman dan mengadakan perbincangan dengan dewan perniagaan di negara itu mengenai perdagangan dua hala.

Mohamed yang mengetuai rombongan itu berkata hasil pertemuan itu, Oman mempelawa pelabur-pelabur dari Terengganu untuk melibatkan diri dalam projek minyak dan gas di negara berkenaan.

Malah, katanya Oman turut berminat untuk datang ke negeri ini dan melihat peluang-peluang yang boleh diceburi di Terenggganu.

No comments:

Post a Comment