Sunday, April 24, 2011

116 pasukan berentap Pertandingan Futsal Piala MB

Sebanyak 116 pasukan berentap bagi merebut Piala Menteri Besar pada Pertandingan Futsal Piala MB 2010/2011 selama dua hari bermula kelmarin di gelanggang futsal Sports Planet di Gong Badak Kuala Terengganu.

Kesemua pasukan yang dianggotai kira-kira 2,000 peserta itu terdiri daripada 64 pasukan bagi kategori lelaki manakala 52 pasukan kategori wanita.

Pertandingan anjuran bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Terengganu itu menampilkan penyertaan dari setiap bahagian diwakili lapan pasukan bagi setiap kategori lelaki dan wanita.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharudin berkata, pertarungan peringkat separuh akhir dan akhir akan berlangsung hari ini di gelanggang berkenaan.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijadual menyempurnakan majlis perasmian penutup pertandingan itu petang ini.

“Menteri Besar juga dijangka beraksi pada perlawanan pertunjukan antara pasukan Pilihan MB menentang Pilihan Kawat (Kelab Wartawan Terengganu) kira-kira pukul 5 petang esok (Sabtu),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Saiful Bahri berkata, juara bagi setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 diikuti naib juara, RM1,000.

Untuk tempat ketiga dan keempat, mereka turut menerima hadiah RM500 manakala pemenang tempat kelima hingga kelapan mendapat RM200.

No comments:

Post a Comment