Sunday, April 24, 2011

Pintu Rundingan Mengenai Kerajaan Perpaduan Tidak Pernah Ditutup

Pintu rundingan antara Umno dan PAS berhubung kerajaan perpaduan tidak pernah ditutup, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata Umno sememangnya sentiasa menunggu tibanya hari orang Melayu sebagai penduduk majoriti negara dapat bersatu dan tidak lagi berpecah belah kerana parti.

"Sekiranya PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang, kami sedia berbincang idea mengenai kerajaan perpaduan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Kursus Retreat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dan Ru Rendang di Kuala Terengganu.

Ahmad mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam yang beliau akan menyatakan pendirian mengenai kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat selepas selesai siasatan dibuat terhadap kes video seks yang pelakunya didakwa mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kursus retreat semalam diadakan untuk anggota Umno dari lapan kawasan DUN yang dimenangi pembangkang, sebagai pembakar semangat untuk merampas kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment