Saturday, April 23, 2011

2 Pasukan Benua, 5 Pasukan Kebangsaan Pada Kejohanan MCMC 2011

Annuar Manan bakal menjadi sandaran TSG pada MCMC 2011 di Melaka, esok.


Perlumbaan sehari (one-day-race) bertaraf antarabangsa, Kejohanan Lumba Basikal Piala Ketua Menteri Melaka 2011 (MCMC 2011) yang bakal berlangsung Ahad ini mene- rima sambutan hebat apabila dua pasukan benua dan lima pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan masing-masing.

Kelima-lima pasukan kebangsaan itu adalah Iran, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

MCMC 2011 dirangka untuk menjadi sehebat perlumbaan klasik sehari yang gah dan dinanti-nantikan ramai pelumba Eropah seperti Paris-Roubaix serta Milan-San Remo.

Justeru, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah mendaftar kejohanan tersebut atas kategori 1.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab mengesahkan yang Iran akan diwakili majoriti pelumba pasukan benua Iran, Suren Cycling Team yang cemerlang pada Le Tour de Filipinas 2011 (LTdF 2011) dan pernah menyertai Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011).

Manakala Le Tua Cycling Team (LeTua) dan Terengganu Cyling Team (TSG) yang kian harum di pentas antarabangsa, pasti membariskan nama besar termasuk Anuar Manan serta Mohd. Harrif Salleh.

“Suren mempunyai beberapa nama besar seperti Vahid Ghaffari, Ebrahim Javani, Meysam Ameli, Hamid Shirisisan, Abolfazl Nazari Daghalian dan Ramin Mehrabani Azar.

“Le Tua pula sudah pasti tampil dengan beberapa nama besar. Saya menjangkakan Ng Yong Li akan berkayuh. Saya dengar mereka juga ada beberapa pelumba import.
“Selain dua pasukan benua, kejohanan ini menerima kejutan terbaru apabila Thailand baru saja mengesahkan penyertaan.

“Saya percaya Indonesia akan menghantar pelumba handalan untuk menguji kekuatan menjelang Sukan SEA 2011 yang akan diadakan di Palembang nanti.

“Saya yakin, menerusi kejohanan ini kita boleh mengukur dan mengenal pasti pelumba terbaik dari Thailand, Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Mungkin pada masa hadapan kami akan jemput pasukan kebangsaan Filipina dan Vietnam,” kata Abu Samah dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menegaskan, MCMC 2011 akan diperisakan lagi dengan penyertaan pasukan negeri termasuk Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan Kedah yang boleh mengukur kehebatan pelumba masing-masing bersaing dengan tonggak luar.

“Dua kejohanan besar yang menawarkan hadiah kemenangan wang tunai menarik adalah satu senario baik kepada pasukan lebuh raya kebangsaan Malaysia.

“Ia memberi peluang kepada pelumba kita cara terbaik menangani kerenah perlumbaan sehari seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.”

Menyentuh tentang GP Melaka, beliau percaya Mohd. Harrif kini dalam prestasi terbaik untuk muncul juara buat kali kedua selepas berbuat demikian di GP Kelantan, apatah lagi dengan ketiadaan juara GP Kuala Lumpur, Mohd. Adiq Hussainie Othman yang kini menyertai Tour de Korea 2011 (TdK 2011).

“Laluan GP Melaka serta MCMC 2011 menjanjikan ruang terbaik kepada semua pelumba kerana ia landai bercampur berbukit.

“Saya percaya pemecut akan menyimpan tenaga dan mungkin melakukan pemisahan pada 15 kilometer terakhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment