Friday, April 29, 2011

600 Nelayan Kawasan Marang Terima Bantuan

Seramai 600 nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan Marang (PNKM) menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 seorang pada satu majlis di Marang semalam.

Bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM120,000 itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohd. Safee Mohd. berkata, jumlah bantuan itu merupakan sebahagian daripada RM28 juta yang disalurkan kepada lebih 8,000 nelayan di seluruh negeri.

Menurutnya, selain subsidi 10 sen bagi setiap kilo hasil tangkapan dan subsidi diesel dan petrol, bantuan secara tunai ini bertujuan mengurangkan beban golongan itu.

“Untuk itu juga, golongan nelayan perlu memperbaharui kad e-nelayan mengikut tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang kesulitan untuk berurusan dengan pelbagai pihak termasuk LKIM,” ujarnya.

Sementara itu, Yahya memberitahu, selain LKIM golongan nelayan di negeri ini boleh memohon bantuan melalui Tabung Darul Iman (TDI) sekiranya mereka berhadapan dengan masalah yang mendesak.

Yahya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Marang berkenaan, tabung kelolaan kerajaan negeri boleh dirujuk kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Yahya turut mencadangkan agar jeti tidak harus dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan agro-pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya.

“Seharusnya mereka berusaha mempelbagaikan punca pendapatan dan ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan nelayan sekali ganda menjelang tahun 2020,” katanya.

No comments:

Post a Comment