Datuk Seri Ahmad Said ketika melawat persiapan DUN Manir kelmarin termasuk melihat kerusi bulat buluh.
Kampung Pulau Bahagia Manir dekat Kuala Terengganu pastinya cukup sesak Sabtu ini dengan jangkaan lebih 10,000 orang akan menghadiri kenduri kampung yang terbesar pernah diadakan di situ.
Jamuan gulai kawah disediakan dan untuk menampung kehadiran yang ramai itu dan lebih 20 ekor lembu dikorbankan melalui kerja yang dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk.
Segala persiapan terakhir masih rancak berjalan bagi majlis yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini esok.
Ia pastinya suatu detik bersejarah bagi penduduk kampung ini dan juga penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang menjadi salah satu lokasi kunjungan Najib, apatah dapat bertemu secara dekat.
Ia memberi makna yang cukup besar bagi mereka dan sebagai satu penghormatan kepada pemimpin utama negara itu yang dijangka tiba pada pukul 11 pagi, mereka menjanjikan sambutan meriah.
Bagi menerima kunjungan tetamu dalam program Perjumpaan Mesra Bersama Rakyat itu, mereka hiaskan pentas utama, meja makan dan bangku panjang menggunakan bahan yang mudah didapati di sini, iaitu buluh, batang nibung dan atap daun rumbia.
Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam (gambar kanan) ketika ditemui semasa bersama menyiapkan kerja-kerja akhir berkata, kehadiran Perdana menteri menginjak kaki ke sini sememangnya dinanti-nantikan.
"Penampilan pentas dan meja makan utama yang berkonsepkan tradisional dengan penggunaan buluh, batang nibung dan atap daun sagu bagi menonjolkan kekayaan tradisi yang masih ada dalam kalangan penduduk di sini.
"Selain keramahan dan muafakat penduduk setempat, kita mahu tonjolkan kepada Perdana Menteri bahawa orang Manir sudah menunggu kehadiran Perdana Menteri sejak sebulan yang lalu," katanya.
Usaha berkenaan dilakukan oleh anak-anak muda di kawasan perkampungan itu yang diketuai oleh Abdul Rahman Ibrahim, 42.
Kata Abdul Rahman, dia bersama rakannya melakukan persiapan itu sejak sebulan lalu dengan mengumpul kira-kira 1,000 batang buluh jenis minyak dari sekitar itu.
Buluh dipilih bukan sahaja mengingatkan kepada nostalgia lama kehidupan di kampung tetapi kerana sifatnya yang mampu menyerap haba terutamanya ketika cuaca panas terik.
"Kami menghasilkan meja makan dan kerusi berbentuk bulatan daripada buluh dan batang nibung sebagai tempat duduk istimewa kepada Perdana Menteri semasa jamuan di sini nanti.
"Tiga hari dua malam masa yang kami ambil untuk siapkannya kerana ia perlukan ketelitian serta buluh perlu diraut dengan cermat bagi mengelakkan luka," katanya.
Sementara itu katanya, meja serta kerusi daripada buluh sepanjang kira-kira 60 meter turut disiapkan untuk kenamaan lain semasa program jamuan itu nanti.
"Kami yakin, meja dan kerusi buluh yang telah siap ini adalah yang terpanjang pernah dihasilkan.
"Bagi penduduk di sini, inilah peluang untuk kami tunjukkan kelainan dan kebolehan yang ada agar kehadiran Perdana Menteri ke kawasan kami memberikan pengalaman berharga buat pemimpin nombor satu negara itu," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment