Wednesday, April 20, 2011

Adiq Julang Nama Malaysia di Korea Selatan

ADIQ (kanan) melakar sejarah tersendiri apabila menduduki tempat ketiga pada peringkat kelima Jelajah Korea 2011 semalam.

Pelumba muda negara, Mohd. Adiq Hussainie Othman melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menaiki podium pada Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Korea 2011 semalam.

Pada perlumbaan peringkat kelima dari Danjing ke Chungjun sejauh 148.50 kilometer (km) itu, Adiq berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Kejayaan Adiq yang juga pemenang pingat gangsa acara perlumbaan mata pada Kejohanan Asia (ACC 2011) di Korat, Thailand Februari lalu turut dikongsi pasukan kebangsaan Malaysia.

Ini kerana Malaysia berjaya menduduki tempat pertama pada perlumbaan peringkat kelima tersebut yang dianggap antara laluan paling getir pada Jelajah Korea 2011.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab jelas gembira dengan prestasi semasa barisan pelumba negara.

"Pelumba negara tidak banyak mencapai kejayaan pada beberapa perlumbaan seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, Jelajah Malaysia (JM) 2011, Jelajah Thailand 2011 dan Jelajah Taiwan 2011.

"Begitu juga di Korat (ACC 2011). Pencapaian di Taiwan juga sangat menghampakan dan saya memang berharap mereka bangkit mencipta kejayaan.

"Kejayaan hari ini (semalam) sedikit sebanyak melegakan saya.Persembahan pelumba negara dipantau oleh banyak pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang banyak mengeluarkan dana pembangunan kepada persatuan.

"Justeru pencapaian Adiq Hussainie membuktikan pasukan kebangsaan Malaysia masih ada pelumba berbakat.

"Saya difahamkan, cuaca di Korea sekarang pun agak sejuk. Kejayaan pada cuaca sejuk membuktikan pelumba Malaysia boleh berkayuh dalam cuaca seperti itu," katanya.

Abu Samah menjelaskan, pasukan kebangsaan Malaysia turut melakar kejayaan apabila menduduki tempat kedua keseluruhan pada perlumbaan peringkat keempat dari Gunsan ke Danjing sejauh 137.80km.

Sebelum ini, Adiq pelumba yang diikat kontrak dengan Drapac Professional Cycling Team, muncul pelumba terbaik negara apabila menduduki tempat ke-13 pada perlumbaan peringkat pertama dari Gumi ke Geochang sejauh 108.10km.

Dalam pada itu, Abu Samah akan meminta jurulatih negara, Graham Seers mengenal pasti punca kegagalan seorang lagi pelumba muda negara, Ahmad Fakrullah Alias yang gagal menamatkan perlumbaan pada Jelajah Korea kali ini.

"Saya mendapat tahu yang dia kurang menyerlah di Thailand. Terbaru, dia gagal menamatkan perlumbaan di Korea. Saya difahamkan, dia menarik diri selepas 50km berkayuh.

"Kita mesti siasat punca sebenar kenapa perkara ini berlaku kerana jarak 50km adalah sangat pendek kepada seseorang pemecut yang handal.

"Apatah lagi kalau dia cukup latihan sebelum menyertai kejohanan besar," katanya.

Edisi ke-10 Jelajah Korea 2011 berstatus 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) meliputi sembilan peringkat perlumbaan sejauh 1,335.9km yang menawarkan hadiah kemenangan sejumlah AS$80,000 (RM240,000).

Jelajah Korea 2011 disertai 20 pasukan termasuk pasukan pro benua yang muncul juara berpasukan keseluruhan LTdL 2011, Tabriz Petrochemical Cycling Team.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment