Friday, April 15, 2011

Agensi Kerajaan Diminta Main Peranan Elak Tanah Milik Melayu Tukar Tangan

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Terengganu (DPMMT) meminta agensi kerajaan berkaitan supaya memainkan peranan bagi menghalang tanah milik orang Melayu di bandaraya Kuala Terengganu jatuh ke tangan bangsa lain.

Pengerusinya Datuk Ir.Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata agensi kerajaan berkenaan perlu mengambil alih dan memajukan tanah milik orang Melayu sebelum menjualnya semula kepada mereka.

Katanya pada masa kini ada tanah milik orang Melayu di pusat bandar telah bertukar tangan kepada bangsa lain.

“Ini kerana tanah yang dimiliki dalam kadar keluasan yang kecil menyebabkan ia sukar dimaju serta dibahagikan di kalangan ahli keluarga sehingga mereka menjual sebagai satu jalan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung DPMMT kali ke-38 di Kuala Terengganu, semalam.

Justeru itu, katanya dalam hal ini agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), UDA Holdings Bhd, Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan Yayasan Islam perlu memain peranan mengambil alih tanah milik orang Melayu itu meskipun bersaiz kecil untuk dimajukan demi kebaikan ekonomi bangsa Melayu.

Katanya, apabila tanah tersebut diambil alih dan dimajukan oleh pihak swasta, kemampuan orang Melayu untuk memiliki hartanah yang telah dibangunkan agak terhad menyebabkan bangsa Melayu terus terpinggir dalam ekonomi.

No comments:

Post a Comment